RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 perlu: Nur Jazlan

in Edisi by


JOHOR BAHRU – Rang Udang-undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 diperlukan untuk mengawal kegiatan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, undang-undang itu juga amat penting kerana kerajaan dapat mengawal aktiviti penyebaran berita palsu melibatkan komunikasi atas talian.


“Undang-undang ini juga bukan satu undang-udang yang dibuat oleh Malaysia secara berasingan. Sekarang ini, Singapura sedang membahaskan undang-undang yang sama. Di Britain, Amerika Syarikat dan Jerman juga pun sama.


“Tujuannya adalah untuk mengawal perkara yang tidak baik dan boleh mencetuskan perbalahan yang akhirnya boleh menjejaskan keharmonian kaum dan keselamatan dalam negara,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Jualan Sentuhan Rakyat di Jalan Pekaka 5, Taman Perling, di sini, hari ini.


Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai mahu rakyat tidak melihat bahawa undang-undang berkenaan sebagai mahu membebankan rakyat.


“Siapa yang salah, dia yang akan didakwa. Setiap dakwaan itu akan dibawa ke mahkamah untuk didengar dan dibuat keputusannya. Bukan kerajaan yang menentukannya. Mahkamah yang akan tentukan sama ada kes mana yang terbukti menjadi penyebaran kepada berita palsu,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]