Sasar 25,000 pengunjung RTM 2018 Zon Utara

in Nasional by


TELUK INTAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan 25,000 pengunjung sempena Road To MAHA (RTM) 2018 Zon Utara yang bermula semalam hingga hari ini.


Program RTM 2018 Zon Utara ini diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) bermula 22 November hingga 2 Disember di MAEPS Serdang.


Timbalan Menteri, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata RTM 2018 diadakan sebanyak tiga siri yang mana siri pertama telah diadakan di Lundu, Sarawak, 24 hingga 25 Mac lalu.


“Manakala siri kedua adalah di Dataran Menara condong bermula hari ini hingga esok dan siri terakhir akan diadakan di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman, Terengganu, 5 hingga 7 April ini.


“Saya berharap sambutan RTM 2018 Zon Utara ini mendapat sambutan luar biasa dari penduduk di negeri ini mahupun negeri-negeri berdekatan dalam merasai kehangatan MAHA 2018,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran dan gerai sempena RTM 2018 Zon Utara di sini, pagi tadi.


Menurut Tajuddin lagi, RTM 2018 Zon Utara turut dihebatkan lagi dengan penyertaan usahawan wanita yang lebih ramai selari dengan konsep MAHA, Segalanya Wanita.


“Saya sangat suka melihat begitu ramai usahawan wanita yang berjaya berkongsi kejayaan mereka sempena program ini dan MOA amat prihatin dengan usahawan wanita ini,” katanya.


Sementara itu, Program Jimat Belanja Dapur turut diadakan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk membeli barang keperluan harian 10 hingga 30 peratus lebih murah dari harga pasaran.


“Sebanyak 27 barangan keperluan harian dijual kepada pengunjung RTM 2018 Zon Utara ini seperti bawang besar, ubi kentang, minyak masak, gula, tepung dan lain-lain lagi,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]