Vivo V9 dilancarkan hari ini!

in Bisnes by


VIVO Technologies Sdn Bhd (Vivo Malaysia), pengedar telefon pintar jenama Vivo, optimis produk terbaharu Vivo V9 FullView yang dilancarkan hari ini, mampu melonjakkan pasaran jenama telefon pintar itu dalam pasaran Malaysia.


V9 FullView serba baharu dengan keluasan skrin 90 peratus ini disertakan ciri dan reka bentuk lebih anggun bergaya.


Dari fotografi ke prestasi mudah alih yang dipertingkatkan, V9 sesuai untuk keperluan golongan tertentu yang mahu menghasilkan imej sempurna dan menyeronokkan melalui telefon bimbit.


Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Malaysia, Mike Xu, berkata, perkembangan pesat dalam teknologi mudah alih sentiasa mengubah gaya hidup dan cara berkomunikasi. Perkembangan ini menjadikan telefon pintar sebagai satu keperluan dalam rutin harian.


“Ini telah memberi inspirasi kepada Vivo untuk terus berinovasi. Justeru, Vivo V9 direka untuk meningkatkan pengalaman telefon pintar para pelanggan, termasuk merakam imej yang menarik, menikmati hiburan terus-menerus dan melakukan tugasan harian mereka melalui telefon pintar,” katanya sambil memberitahu Vivo V9 menawarkan warna hitam-mutiara dan keemasan.


Jelasnya, Vivo V9 menawarkan reka bentuk kompak lebih luas dengan 6.3 inci paparan skrin berbanding ciri sebelumnya dengan keluasan 5.5 inci dan ia masih selesa dipegang.


Vivo V9 mengaplikasikan nisbah 19:9 bagi meningkatkan saiz skrin sebanyak 5.2 peratus berbanding generasi sebelumnya V7+ dan bezel sisi dikurangkan sebanyak 19 peratus kepada hanya 1.75mm.


“Bagi menghasilkan reka bentuk telefon yang lebih elegan, setiap bucu dibentuk dengan teliti untuk memastikan keselesaan mutlak di telapak tangan,” katanya.


Mike Xu berkata, fungsi baharu kamera ‘AI-powered’ meneruskan objektif Vivo untuk menyediakan kamera telefon bimbit dengan V9 crystal-clear 24MP bagi kamera depan dan 16MP+5MP bagi dwi kamera.


“Melalui kajian dan penyelidikan yang mendalam, Vivo menggunakan teknologi AI bagi membantu pengguna mendapatkan imej bagi menyerlahkan kecantikan mereka.


“V9 dilengkapi ciri-ciri Super HDR-AI secara automatik mengesan dan menghasilkan foto yang lebih jelas, warna lebih menarik, dan nada yang lebih jelas.


“Super HDR merakam dan menggabungkan bingkai bagi menghasilkan pencahayaan yang lebih optimum. Super HDR menggunakan pengesanan pemandangan pintar untuk mengimbangi pencahayaan orang dan latar belakang untuk mewujudkan rasa semula jadi,” katanya.


Tambahnya, dalam usaha untuk lebih mendekati pelanggan tempatan, Vivo Malaysia telah menamakan Alvin Chong sebagai ikon muzik Vivo, ikon duta Vivo, Janna Nick dan ikon swafoto Vivo, Joyce Chu.


“Ketiga-tiga nama popular tanah air ini dinamakan sebagai personaliti jenama Vivo yang baharu dan dinamik. Barisan bintang yang progresif ini juga mempunyai persona sesuai dengan ciri-ciri jenama Vivo,” katanya.

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]