Zahid puji Kastam laksana GST

in Uncategorized by


HUTANG MELINTANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji tindakan tegas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam melaksanakan kutipan GST.


Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya menyalahkan Kastam yang bertindak tegas dengan penugasan yang dipertanggungjawabkan kerana pelaksanaan GST adalah demi memperkukuhkan ekonomi negara.


“Masalah GST kini belum selesai, ada yang cakap sebab GST kos sara hidup makin tinggi, saya nak tanya negeri mana yang barang semakin turun, ertinya barang naik bukan sebab GST, GST sebenarnya melengkapkan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya.


“Yang marah GST dilaksanakan adalah mereka yang mahu lari dari cukai,” katanya  ketika berucap pada majlis program Khidmat Bakti Masyarakat dan Kem Motivasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) kawasan Bagan Datuk di sini hari ini.


Turut hadir Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam.


Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata GST adalah sistem pencukaian yang  paling efisien kerana ia juga dilaksanakan di negara lain demi manfaat rakyat.


“Pengenaan cukai (GST) yang kepada rakyat hanya enam peratus berbanding ada negara lain yang cukainya mencecah 22.5 peratus “ katanya sambil menambah JKDM bekerja secara berpasukan bagi memastikan kutipan GST dapat dilaksanakan dengan baik.


Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sebanyak 16 sekolah jenis kebangsaan (Tamil) kawasan Bagan Datuk telah terlibat dalam kem motivasi anjuran JKDM.


“Pendidikan adalah keutamaan, saya tidak kira pelajar Melayu, Cina atau India dalam memberi bantuan kerana saya mahu anak Bagan Datuk menjadi nombor satu dalam bidang pendidikan,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]