PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

March 2018 - page 2

Pas mahu tumbangkan BN

in Politik by


BALING – Tumbangkan kerajaan BN menjadi motif utama Pas bertanding PRU14.


Pengarah PRU Pas Baling, Mejar (B) Zakaria Mansor berkata, sama ada pendirian itu dipersetujui atau tidak, ia terpulang kepada rakyat.


Menurutnya, Pas mengadakan ceramah bukan untuk menipu mahupun menyatakan fitnah atau dakyah, tetapi untuk menyampaikan kebenaran.


“Rakyat memberikan mandat selama 60 tahun kepada BN untuk memerintah namun negara gagal diperintah dengan baik.


“Adakah dari dahulu sampai sekarang bertambah baik? Rasanya tidak.


“Jika nak disenaraikan, berpuluh-puluh kejadian di negara ini, semuanya melibatkan kerajaan BN,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Ceramah dan Kupasan Isu Semasa di Taman Permai, di sini malam semalam.


Turut menyampaikan ceramah, Ketua Penerangan Pas Baling, Hilmi Abd Wahab dan tokoh korporat, Fauzi Abd Rahman.


Menurutnya, caj GST ialah salah satu bentuk kezaliman di bawah BN.


“Kesan yang kita rasa semua tak kira dia pengundi Pas, Umno atau Pakatan Harapan semua kena bayar GST.


“Baru beranak, muda, tua dan mati pun kena. Kain kapan pun ada GST. BN memungut cukai pada yang bukan haknya,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan tidak serius mengatasi kejatuhan harga getah yang sering menghimpit penoreh.


Katanya, penoreh yang mengambil upah menoreh menanggung lebih bebanan akibat kejatuhan tersebut.


“Harga getah skrap sekarang RM1.90 sekilogram, jika di Felda RM1.


“Bila kita ziarah orang kampung, betapa daifnya mereka, nak beli sekampit beras pun tak mampu. Ada kerajaan sebut dalam bajet untuk naikkan harga getah? Tak ada,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Zahid puji Kastam laksana GST

in Uncategorized by


HUTANG MELINTANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji tindakan tegas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam melaksanakan kutipan GST.


Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya menyalahkan Kastam yang bertindak tegas dengan penugasan yang dipertanggungjawabkan kerana pelaksanaan GST adalah demi memperkukuhkan ekonomi negara.


“Masalah GST kini belum selesai, ada yang cakap sebab GST kos sara hidup makin tinggi, saya nak tanya negeri mana yang barang semakin turun, ertinya barang naik bukan sebab GST, GST sebenarnya melengkapkan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya.


“Yang marah GST dilaksanakan adalah mereka yang mahu lari dari cukai,” katanya  ketika berucap pada majlis program Khidmat Bakti Masyarakat dan Kem Motivasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) kawasan Bagan Datuk di sini hari ini.


Turut hadir Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam.


Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata GST adalah sistem pencukaian yang  paling efisien kerana ia juga dilaksanakan di negara lain demi manfaat rakyat.


“Pengenaan cukai (GST) yang kepada rakyat hanya enam peratus berbanding ada negara lain yang cukainya mencecah 22.5 peratus “ katanya sambil menambah JKDM bekerja secara berpasukan bagi memastikan kutipan GST dapat dilaksanakan dengan baik.


Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sebanyak 16 sekolah jenis kebangsaan (Tamil) kawasan Bagan Datuk telah terlibat dalam kem motivasi anjuran JKDM.


“Pendidikan adalah keutamaan, saya tidak kira pelajar Melayu, Cina atau India dalam memberi bantuan kerana saya mahu anak Bagan Datuk menjadi nombor satu dalam bidang pendidikan,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

JKM bantu mangsa kebakaran

in Edisi Utara by


KUALA KETIL – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling tampil membantu dua keluarga yang terlibat kebakaran di Kampung Kuala Temekah pada 29 Mac lalu.


Pegawainya, Shamsul Izrin Isahak berkata, JKM menyampaikan tabung bantuan segera (TBS) dan kit bencana merangkumi tikar, tilam, pakaian dan minuman kepada keluarga berkenaan.


Menurutnya, dalam kejadian jam 9.30 malam itu, kebakaran melibatkan dua rumah terletak bersebelahan.


“Keluarga pertama yang terlibat ialah keluarga tiga beranak yang terbakar 100 peratus dan kini mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.


“Bagi keluarga kedua, kebakaran melibatkan 40 peratus,” katanya.


Terdahulu, Shamsul menziarahi keluarga berkenaan bagi memberikan sokongan moral.


Menurutnya, dua keluarga itu kini tinggal di rumah saudara buat sementara waktu.


“JKM juga ingin menyampaikan penghargaan kepada masyarakat setempat yang membantu keluarga ini.


“Tindakan pantas pihak bomba juga membantu kebakaran tidak merebak ke rumah lain,” katanya.


Sumbangan kit bencana dan kotak Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) turut disampaikan Penyelaras Dun Kuala Ketil, Datuk Khairul Azhar Abdullah.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Hulur sumbangan tabung bantuan segera

in Edisi Utara by


KUALA KETIL – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling tampil membantu dua keluarga yang terlibat kebakaran di Kampung Kuala Temekah pada 29 Mac lalu.


Pegawainya, Shamsul Izrin Isahak berkata, JKM menyampaikan tabung bantuan segera (TBS) dan kit bencana merangkumi tikar, tilam, pakaian dan minuman kepada keluarga berkenaan.


Menurutnya, dalam kejadian jam 9.30 malam itu, kebakaran melibatkan dua rumah terletak bersebelahan.


“Keluarga pertama yang terlibat ialah keluarga tiga beranak yang terbakar 100 peratus dan kini mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.


“Bagi keluarga kedua, kebakaran melibatkan 40 peratus,” katanya.


Terdahulu, Shamsul menziarahi keluarga berkenaan bagi memberikan sokongan moral.


Menurutnya, dua keluarga itu kini tinggal di rumah saudara buat sementara waktu.


“JKM juga ingin menyampaikan penghargaan kepada masyarakat setempat yang membantu keluarga ini.


“Tindakan pantas pihak bomba juga membantu kebakaran tidak merebak ke rumah lain,” katanya.


Sumbangan kit bencana dan kotak Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) turut disampaikan Penyelaras Dun Kuala Ketil, Datuk Khairul Azhar Abdullah.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Dua tahun kayuh basikal

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – Di negara asalnya di Rusia, dia popular sebagai penyanyi, namun setelah diserang strok empat tahun lalu telah merubah segala-galanya dan hampir dua tahun terlantar sakit.


Konstantin Kozhemyakin, 44, yang berasal dari Kemerovo, Rusia berkata, jika dia mahu kembali normal, doktor menasihatkannya aktif melakukan aktiviti fizikal dan disebabkan itu, dia nekad berbasikal bagi melawan penyakit yang dihidapinya itu.


Katanya, sebelum ini dia tidak dapat menggerakkan badan di sebelah kanan, namun kini dia berjaya merentas beberapa negara setelah berbasikal setiap hari di beberapa negeri di Rusia.


“Sebelum sampai ke Kampung Belahan Tampok, Rengit hari ini (semalam) saya sampai beberapa negara seperti Mongolia, Nepal, China, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Laos, Thailand dan sekarang di Malaysia.


“Saya berbasikal dua tahun tanpa henti sebelum memasuki negara ini dua hari lalu melalui Kedah, kemudian ke Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan akhirnya ke Johor.


“Selepas ini saya merancang akan ke Singapura dan kemudian ke beberapa negara di benua Afrika sebelum mengakhiri jelajah saya di beberapa negara di benua Amerika pula,” katanya ketika ditemui di Kampung Belahan Tampok, Rengit yang disambut oleh penduduk dan diketuai Ketua Umno Cawangan Kampung Belahan Tampok, Mohd Azrai Ahmad.


Dalam pada itu, menurut Mohd Azrai, dia dan penduduk kampung bangga apabila dipilih sebagai salah satu persinggahan sepanjang jelajah berbasikal selama dua tahun itu.


Katanya, sebelum ini beberapa kali kampung berkenaan menjadi lokasi persinggahan penunggang basikal dari Belanda, Korea Selatan dan beberapa negara Asia lain.


“Mereka datang berbasikal ke kampung ini kerana mahu menikmati keindahan di sini selain Kampung Belahan Tampok sememangnya popular di kalangan penunggang basikal terutama dari luar negara.


“Sekiranya mereka berada di negara ini dan menuju ke selatan mereka pasti akan singgah di kawasan sekitar Rengit kerana adanya trek berbasikal, ladang nanas dan pemandangan pantai yang indah,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]

BN Perak mampu menang majoriti

in Politik by


TAPAH – “Barisan Nasional (BN) Perak mampu menang majoriti lebih dua pertiga kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri pada PRU14 sekiranya parti komponen BN bekerja keras,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Ahmad Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sasaran itu juga  perlu diterjemahkan  di peringkat kerusi Parlimen.


Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan semangat toleransi, setiakawan dan kerjasama padu BN di peringkat negeri dan nasional.


“Kami sebagai ahli Parlimen atau Adun atau pengerusi parti komponen BN di peringkat nasional atau negeri… toleransi  ada dalam BN… kita boleh kompromi demi (kepentingan) rakyat.


“Ketepikan kepentingan peribadi… yang penting adalah kemenangan semua calon BN daripada pelbagai parti (komponen),” katanya ketika berucap melancarkan Jentera BN Tapah, di pekarangan Bangunan Umno Tapah di sini, hari ini.


Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau  berbangga  dengan semangat dalam kalangan ahli BN yang sentiasa menyokong calon BN yang bertanding tanpa mengira dari parti komponen yang mana. – Bernama


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Warga emas ditipu hampir setengah juta

in Edisi by


KUANTAN – Seorang wanita berusia 39 tahun berjaya ditahan pihak polis yang dipercayai memperdaya warga emas dengan tawaran melanjutkan ke pusat pengajian tinggi yang tidak wujud kepada anak mangsa sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM235,000.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, suspek itu ditahan kira-kira jam 10 pagi kelmarin, di sekitar bandar Bentong.


Menurutnya, penangkapan itu berjaya hasil laporan mangsa yang berusia 64 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.


“Suspek dikatakan membuat tawaran untuk membantu anak mangsa berusia 20-an melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam jurusan perubatan untuk sesi 2017/2018.


“Untuk tujuan itu, mangsa perlu memasukkan pelbagai bayaran yang dikenakan oleh suspek yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat IPTA dalam jurusan kedoktoran sehingga mengalami kerugian.


“Oleh kerana terlalu percayakan segala janji diberikan suspek, mangsa memasukkan wang dengan jumlah keseluruhan RM235,000 mengikut permintaan suspek dengan jumlah yang berbeza.


“Mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun Maybank milik suspek, namun anaknya tetap tidak berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.


Katanya, anaknya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam jurusan perubatan di UM dan kini terpaksa pula menanggung kerugian yang besar.


“Mangsa yang merasa tidak berpuas hati dan berasa ditipu kemudian membuat laporan polis sebelum pihak polis berjaya menahan suspek itu.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Keda dekati masyarakat luar bandar

in Edisi Utara by


NAPOH – Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh di sini menjadi lokasi pertama program Jelajah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Di Hati Rakyat yang berlangsung semalam.


Pengurus Besar Keda, Arifuddin Habib berkata, program berkenaan merupakan salah satu medium pendampingan Keda dan pemimpin tempatan dengan masyarakat luar bandar khususnya penduduk di desa Keda.


“Tujuan program ini diadakan untuk menguar-uarkan kepada orang ramai tentang Keda dan menawarkan produk usahawan Keda pada harga berpatutan,” katanya ditemui pada program berkenaan, hari ini.


Menurutnya, antara program yang dijalankan sepanjang siri jelajah berkenaan adalah jualan murah barangan dapur, jualan produk usahawan Keda, pengambilan pelajar Kolej Keda, aktiviti pembangunan modal insan dan banyak lagi.


“Jualan murah yang kita adakan ini menawarkan harga barangan yang lebih rendah dari harga pasaran untuk beri kesempatan kepada penduduk beli barang keperluan rumah,” katanya.


Arifuddin berkata, selepas RTC Napoh, Keda akan meneruskan jelajah mereka ke 14 lagi lokasi terpilih di seluruh Kedah.


“Esok kita akan berada di Baling dan Pendang untuk menyantuni penduduk di sana,” katanya.


Tambahnya, sejak ditubuhkan pada 28 Mei 1981, pelbagai aktiviti pembangunan yang meliputi pembangunan infrastruktur, usahawan dan modal insan telah dilaksanakan Keda di negeri ini.


“Antara projek pembangunan yang paling signifikan dengan Keda suatu masa dahulu adalah membina dan menaik taraf jalan yang menghubungkan kawasan luar bandar di negeri ini.


“Ia melibatkan pembinaan jalan dari Pekan Changlun ke Pekan Kuala Ketil sejauh 138 kilometer yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di luar bandar,” katanya.


Terdahulu, Arifuddin mengiringi Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar bagi menyempurnakan pelancaran Jelajah Keda Di Hati Rakyat.


Turut berlangsung, majlis perasmian pejabat urusan Syarikat EPI Success Resources Sdn Bhd dan Pertandingan Petanque Peringkat Kebangsaan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Tiga intipati penting Manifesto Pemuda BN 10 April ini

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Isu pekerjaan, perniagaan dan perumahan merupakan antara intipati penting yang diberi perhatian serius dalam Manifesto Pemuda BN yang akan dilancarkan pada 10 April ini.


Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tiga aspek itu menjadi isu utama yang membelenggu golongan belia masa kini dan tawaran yang realistik ini diambil bagi menarik sokongan golongan muda terhadap BN.


Jelasnya, pendekatan yang diambil jelas berbeza dengan pembangkang yang menabur janji serta memberi harapan palsu untuk meraih simpati.


“Kita beri harapan kepada mereka untuk lima tahun akan datang dan kita beri harapan 30 tahun akan datang melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan perubahan itu seperti perumahan transit di Kuala Terengganu dan di kawasan bandar dan pinggiran bandar bukan ‘gula-gula pilihan raya’.


“Saya akui bahawa pengundi muda ini bukan semua sokong BN dan bukan semua sokong pakatan. Sebab itu, kita kena bekerja kuat dan saya akan pusing satu negara untuk memastikan seramai mungkin orang muda dapat bersama dengan kita.


“Kalau kita bercakap pasal orang lama, bukan nak kata mudah tetapi mereka mungkin lebih memihak kepada BN tetapi saluran muda ini, saingannya sangat sengit dan kewujudan Briged Gempur ini salah satu cara kita mahu mendekati mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran Briged Gempur 2314 di Dataran Syahbandar di sini, hari ini.


Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.


Mengulas mengenai siri Jelajah Briged Gempur 2314, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda BN kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk menghadapi PRU14.


“Kita hanya menunggu wisel daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan siri jelajah ini hampir selesai yang mana ia hanya belum dilancarkan di Pulau Pinang dan Melaka.


“Ini jentera kita kerana tanpa jentera, kita tidak dapat sokongan dan tidak dapat menjejaki orang ramai. Jadi,  Pemuda akan pergi ke mana sahaja untuk mendekati orang muda.


“Kita sudah ada nama yang perlu dijejaki dan saya serahkan kepada Pemuda di peringkat negeri untuk memastikan semua nama-nama ini dapat dihubungi dan melakukan kempen untuk mengenal pasti isu yang membelenggu mereka,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Ustaz teruja terjun laut

in Edisi Johor by


MERSING – Tiada kata terlambat untuk mencuba sesuatu yang baharu. Ini dibuktikan sekumpulan pegawai agama negeri ini yang menyahut cabaran melihat dunia di dasar laut dengan menyelam.


Rata-rata mengakui cabarannya luar biasa memandangkan mereka belum pernah mencuba aktiviti itu sebelum ini.


Timbalan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, pengalaman yang diperoleh begitu berbeza.


“Kami jalani latihan awal di kolam renang sebelum sambung tiga hari di Pulau Tinggi.


“Pengalaman itu sangat berbeza. Ketika dalam kolam renang tiada angin, arus atau ombak, tapi ketika di laut, arusnya agak kuat memandangkan masih dalam tempoh monsun.


“Tapi jurulatih dan buddy sentiasa bersama-sama di dalam air,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pulau Tinggi, baru-baru ini.

Seramai 15 pegawai agama negeri Johor mengikuti kursus selam skuba di Pulau Tinggi, baru-baru ini.


Yahya melalui pengalaman mendebarkan apabila hampir pitam ketika sedang menjalani latihan di dalam air.


“Ketika itu saya kurang sihat memang ketika itu saya gelap mata beberapa kali, tapi syukur segera dibantu orang sekeliling.


“Pengalaman itu memang luar biasa. Manusia ini apabila tercabar di lautan, timbul keinsafan atas nikmat.


“Apabila kita terdesak di dalam air, pengharapan kepada ALLAH itu tiada tandingannya. Kita betul-betul berserah kepada ALLAH,” katanya.


13 tahun simpan hasrat menyelam


Sementara itu Kadi Daerah Segamat, Baharin Jalal pula berkata, beliau menyimpan hasrat untuk menyelam sejak 13 tahun lalu.


“Tahun 2005 saya bertugas di Mersing dan ketika itu memang nak sangat cuba menyelam tapi masa itu menyelam belum popular.


“Peluang pun tak ada masa itu jadi saya pendam saja hasrat nak menyelam. Apabila dapat peluang kali ini, saya memang tak lepaskan,” katanya yang berhasrat mengajak ahli keluarganya turut mencuba aktiviti itu.


Menurutnya, dengan menyelam keberanian sebenar diri sendiri diuji.


“Bernafas menggunakan mulut itu perkara baharu yang sukar sebenarnya, tapi pengalaman itu begitu berharga.


“Di dalam air itulah keberanian sebenar saya diuji. Sejauh mana kita berani sebab apabila di bawah kita hanya berserah kepada ALLAH selain bergantung pada teknik yang diajarkan jurulatih,” katanya.


Beliau begitu menantikan saat untuk pergi menyelam di Pulau Sipadan tidak lama lagi.


Seramai 15 pegawai agama termasuk Kadi Besar Johor, Sahibul Fadhilah Ahmad Faisal Mohamad; Imam Besar Negeri Johor, Sohibul Fadhilah Ahmad Hanif Naim serta kadi-kadi serta pegawai agama lain turut serta mengikuti kursus selam skuba di Pulau Tinggi.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA