PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

March 2018 - page 3

Terkejut anak jerit bunyi meletup

in Edisi by


BENTONG – Sebuah keluarga di Kampung Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lebu, Bentong tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kebakaran kira-kira jam 3 petang kelmarin.


Mohd Isa Ibrahim, 69, berkata, dia reda dengan kejadian tersebut dan bersyukur kebakaran tersebut tidak meragut nyawa isteri, anak-anak dan cucunya yang ketika itu berada di rumah.


Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur akibat tidak berapa sihat dan tersedar apabila terdengar jeritan daripada seorang ahli keluarganya.


“Pakcik terjaga dari tidur bila terdengar suara anak menjerit mengatakan ada bunyi meletup dari ruang tengah bilik tidur dan pakcik terus arahkan semua anak dan cucu keluar dari rumah.


“Kejadian terlalu pantas… ada jiran cuba bantu padamkan api tetapi terlalu marak,” katanya ketika ditemui di rumah di sini, semalam.


Menurut Mohd Isa, semua barangan berharga gagal diselamatkan kerana api cepat merebak kerana keseluruhan rumahnya diperbuat dari kayu.


“Rumah tersebut pakcik duduki pada 1973 dan dibina oleh kerajaan negeri.. banyak kenangan tak dapat dilupakan kerana pakcik menetap di rumah tersebut sejak bujang lagi.


“Disebabkan banyak kenangan di rumah ini pakcik hanya buat ubahsuai sedikit sahaja iaitu pada bahagian bawah kerana sayang dengan kualiti rumah dibina oleh pihak kerajaan,” katanya.


Mohd Isa yang merupakan pesara Jabatan Bekalan Air bersama 10 ahli keluarganya kini terpaksa menumpang di bangunan Kumpulan Pengembangan Wanita tidak jauh dari kawasan berkenaan untuk sementara waktu.


“Pakcik ucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Parlimen, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Jabatan Kebajikan Masyarakat, bomba dan agensi kerajaan lain serta penduduk kampung kerana banyak menolong dan prihatin terhadap perkara yang berlaku kepada kami sekeluarga,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.21 petang dan jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.


“Ketika pihak bomba tiba, didapati api sedang marak dan kebakaran tersebut memusnahkan hampir 100 peratus rumah tersebut yang merupakan rumah separuh kekal.


“Tiada kemalangan jiwa yang terlibat dalam kebakaran ini kerana semua penghuninya berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari kejadian berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Kasma catat masa terpantas di Litar Tangkak

in Sukan by


JUARA bertahan CP150, Kasma Daniel Kasmayuddin kekal sebagai pencabar utama kejuaraan apabila mengungguli sesi kelayakan pada hari pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor, hari ini.


Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang turut beraksi dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) itu mencatat masa terpantas 44.230s mengatasi catatan terbaik Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ) yang mencatatkan 44.430s diikuti rakan sepasukan Kasma, Mohd Ramdan Rosli ketiga dengan masa 44.624s.


Bagaimanapun, catatan terbaik Kasma di Litar Tangkak 0.370s lebih perlahan berbanding catatan terpantas 43.915s yang dicatatkan pada musim lepas.


“Permukaan litar lebih licin dan kurang cengkaman berbanding tahun lepas,” jelas Kasma.


“Beberapa bahagian litar diturap semula dan tidak digunakan. Saya jangka perlumbaan esok pasti mencabar dan sengit.”


Sementara itu, sesi kelayakan CP115 menjadi milik Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) dengan masa 46.497s diikuti Md Haziq Md Fairues (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 46.615s dan rakan sepasukan Tengku Amirul, Md Fareez Afeez dengan masa 46.662s.


Dalam kategori Wira KBS, Md Afizi Supaat bakal bermula dari petak pertama setelah mengungguli sesi Shootout dengan masa 47.432s diikuti Md Danial Syahmi dan Md Harith Haziq Zamri, masing-masing dengan masa 47.514s dan 47.695s.


Kelayakan


CP150


1 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor 44.230s


2 Ahmad Afif Amran (TRG) Petronas Sprinta Yamaha – CKJ 44.430s


3 Md Ramdan Rosli (SGR) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor 44.528s


4 Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor 44.699s


5 Md Adib Rosley (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 44.733s


CP115


1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 46.497s


2 Md Haziq Md Fairues (SGR) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor 46.615s


3 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 46.662s


4 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 46.693s


5 Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) Petronas Sprinta Yamaha – CKJ 47.040s


Shootout


WIRA KBS


1 Md Afizi Supaat (SGR) ELF Koyoko Honda KC Racing 47.432s


2 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 47.514s


3 Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 47.695s


4 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 47.928s


5 Md Hazim Md Fairues (SGR) Petronas Sprinta Yamaha 48.082s

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Lupakan soal pemilihan, tumpu PRU14

in Politik by


PEKAN – Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta anggota dan pemimpin parti supaya melupakan seketika soal pemilihan sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap PRU14.


Najib yang juga Pengerusi BN berkata kuasa politik yang ada tidak akan bermakna sekiranya parti kehilangan kuasa untuk memerintah negara.


“Sekarang bukan masa kita mengatur soal pemilihan… perjuangan hanya dapat diteruskan sekiranya kita ada kuasa politik.


“Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi parti tetap ada, jadi utamakan tanggungjawab sebagai anggota parti kerana parti UMNO dan BN diwariskan kepada kita untuk diperturunkan kepada anak cucu kita dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN P085 Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.


Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Seri Abu Bakar Harun, Ketua Wanita Umno Bahagian Pekan Datuk Zalmah Abdul Rahman dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan Datuk Shahruddin Ahmad.


Lebih 10,000 jentera BN termasuk parti komponen dari semua cawangan di Parlimen Pekan hadir pada majlis pelancaran itu.


Najib juga menyifatkan kehadiran jumlah jentera berkenaan menunjukkan BN tidak tergugat di kawasan itu walaupun dengan kehadiran seorang bekas pemimpin negara yang berusia 93 tahun.


“Cukuplah dengan kekuatan yang diperlihatkan hari ini… kepada sesiapa yang ada cita-cita nak bertanding di Pekan,  ini (baru) sebahagian sahaja kekuatan yang kita ada di Pekan.


“Kita ramai lagi bala tentera,  kalau tak percaya pergilah ke merata-rata tempat di Pekan ini… mereka tidak yakin kepada orang yang tidak mengambil berat kepada mereka.


“Mereka tahu siapa yang ambil berat apatah lagi sejak anak Pekan ini berada di Putrajaya, banyak perubahan dan pembangunan telah dilakukan di sini, sebut sahaja insitusi pendidikan, kilang, masjid, semuanya ada,” katanya.


Dalam masa yang sama, Najib sekali lagi turut mengingatkan semua anggota parti supaya terus mengamalkan konsep walaq atau setia kepada pemimpin.


“Saya lihat soal dalaman yang dapat memusnahkan kita bukan orang luar, mereka tidak kuat, jadi kita mesti terus walaq kepada pemimpin… bukan kepada Najib Razak atau individu.


“Di zaman Rasulullah sendiri, semasa berlaku Perang Badar dan Uhud apabila pemanah tidak patuh dan walaq kepada arahan Nabi Muhammad S.A.W dengan turun daripada bukit, maka orang Islam kalah.


Ini peringatan daripada Allah, kalau kita tak walaq maka tidak akan menang walaupun boleh menang,” katanya.


Pada majlis itu, Najib mengakhiri ucapannya dengan kiasan ‘Bulan tidak lagi mengambang, roket kini hilang haluan, bunga pula sudah hilang kembang, namun dacing terus seimbang.’ – Bernama


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Kaji balik keputusan rehat Marcote

in Sukan by


KEMELUT melanda kem bola sepak Kedah masuk episod baharu apabila ada kelab mohon Ramon Marcote terus dikekalkan sebagai Ketua Jurulatih Lang Merah.


Timbalan Pengerusi Lang Merah Football Association (LMFA), Mohd Syakrunaim Ismail berkata, pihaknya melancarkan kempen tandatangan penyokong mahu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menarik balik keputusan mesyuarat pada 28 Mac lalu.


Menurutnya, gesaan dibuat agar tindakan merehatkan Marcote dikaji lebih mendalam kerana tidak mahu menjejaskan moral pasukan.


“Kami di LMFA dan penyokong Kedah lain memerlukan kebijaksanaan Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah agar menilai kembali perkara ini.


“Jangan tunduk kepada tangan-tangan yang tidak pernah pegang bola pun sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.


Marcite kini diberi peranan sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan KFA selepas direhatkan daripada jawatan Ketua Jurulatih Kedah.


Mohd Syakrunaim yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Apache Kedah berkata, sebagai penyokong mereka juga rasa terpanggil membantu pasukan dari luar.


Jelasnya, LMFA kini dalam perancangan menambah bilangan kelab penyokong Kedah yang kini mempunyai 21 kelab di bawah naungannya.


“Kami perlukan gagasan baru sebagai kelab penyokong jadi akan tambah bilangan kelab yang bernaung di bawah satu gagasan supaya suara dapat sampai,” katanya.


Menurutnya, LMFA kini menyatukan hampir 1.2 juta penyokong di bawah satu gagasan dan jumlah dijangka bertambah apabila lebih banyak kelab di Lembah Klang menyertai mereka selepas ini.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Lebih 5,000 orang serbu Jualan Sentuhan Rakyat

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


TANJUNG BIDARA – Program Jualan Sentuhan Rakyat yang sebelum ini telah diadakan di Dun Kuala Linggi dan Dun Lendu dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah dilihat sekali lagi berjaya mencapai objektif dengan kehadiran lebih 5,000 di Dun Tanjung Bidara, hari ini.


Ahli Parlimennya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata, ini jelas menunjukkan program jualan itu mampu menawarkan harga murah dan berpatutan berbanding harga di tempat lain, malah membantu pengguna terutama penduduk kampung yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk berbelanja dengan berhemat.


Menurutnya, program diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan yang telah melancarkan program itu di setiap kawasan parlimen bagi membantu masyarakat di negara ini.


“Program ini menawarkan pelbagai barangan keperluan dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran dan merupakan kali keempat diadakan di kawasan parlimen ini sejak dilancarkan.


“Rakyat khususnya penduduk sekitar Tanjung Bidara diberikan pilihan untuk berbelanja selain menjimatkan kos apabila menyertai program jualan seperti ini,” katanya.


Hadir sama, Adun Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan Adun Taboh Naning, Datuk Latipah Omar.


Mas Ermieyati berkata, pihaknya juga berharap program seperti ini dapat dijalankan secara berkala dan berterusan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian mereka.


Program yang bermula seawal 8 pagi itu turut dimeriahkan dengan kewujudan pelbagai pameran dan booth termasuk dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta aktiviti bagi kanak-kanak tabika kemas dalam Dun itu.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Teruja kali pertama dapat GPA 4.0

in Edisi by


BATU PAHAT – “Saya tak sangka dapat Grade Point Average (GPA) 4.0 semester lepas, namun saya bersyukur dan teruja kerana kali pertama saya dapat keputusan seperti ini,” kata Nur Naqiyatul Najihah Mohd Said, 19.


Nur Naqiyatul atau lebih mesra dipanggil Qiqi dalam merupakan salah seorang penuntut yang mendapat Anugerah Senat Kolej PolyTech Mara (KPTM) Batu Pahat bagi sesi Julai 2017.


Menurut Qiqi, pada mulanya dia menyangkakan rakan-rakannya bergurau mengatakan dia seorang daripada 26 penuntut yang mendapat GPA 4.0.


“Tiada rahsia saya berjaya, cuma hasil tunjuk ajar pensyarah selain dorongan dan sokongan ahli keluarga serta rakan-rakan.


“Pada saya, tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dan juga rajin bertanya pensyarah perlu untuk sesi pembelajaran setiap hari.


“Belajar dan berbincang secara study group penting kerana dapat bertukar pandangan,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik  (Maka) Sesi Julai 2017 KPTM Batu Pahat.


KPTM meraikan seramai 387 penuntut yang menerima Anugerah Dekan serta 26 menerima Anugerah Senat.


Maka Sesi Julai 2017 dihadiri dan dirasmikan Timbalan Presiden Akademik KPTM, Abdul Azmi Abdul Aziz dan Pengarah KPTM Batu Pahat, Mohd Zaidi Zakaria yang diadakan di Dewan Utama KPTM Batu Pahat.


Qiqi yang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia di peringkat diploma ini berazam akan mengekalkan kecemerlangannya dalam bidang akademik, selain aktif kegiatan luar.


“Saya difahamkan selain perlu dapat keputusan baik dalam akademik.


“Penuntut KPTM juga perlu aktif kegiatan luar sebagai syarat untuk graduasi selain lapangan industri pekerjaan juga mahukan graduan yang memiliki kedua-dua aspek ini,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Syazwan Zulkifli kesal, masih dikait isu baran

in Hiburan by
Syazwan Zulkifli

Syazwan Zulkifli kesal, masih dikait isu baran


PELAKON Syazwan Zulkifli meluahkan rasa kesalnya apabila sering dilabelkan sebagai seorang yang baran dan lantang bersuara sehingga sering dipandang serong sesetengah pihak.


Hakikatnya pelakon yang dikenali menerusi drama Juvana ini hanya bersuara ketika perlu terutamanya apabila melibatkan mereka yang tidak profesional dalam kerja.


“Saya sendiri pun tak faham kenapa orang labelkan saya sebagai seorang baran sedangkan tidak pernah ada pun kejadian yang memperlihatkan saya dengan perlakuan seperti itu.


“Sejak berlakon Juvana lagi orang dah kaitkan saya dengan isu baran ni, masa tu saya OK saja sebab saya fikir mungkin sebab pengaruh watak antagonis yang saya bawa.


“Tapi bila sampai satu masa, orang masih labelkan saya begitu sehingga membuatkan ramai yang takut nak dekat atau kerja dengan saya, jadi tak bestlah,” luahnya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sesi Meet & Greet dan bengkel DFKL petang tadi.


Tambah Syazwan lagi, disebabkan anggapan sebegitu juga membuatkan orang mudah memberikan tanggapan buruk terhadapnya, meski kesalahan itu bukan datang daripada pihaknya.


“Saya sering berdepan dengan situasi yang masalahnya datang daripada sikap tidak profesional pihak lain, tetapi akhirnya saya menjadi mangsa keadaan.


“Bila saya mula bersuara, orang akan kaitkan dengan baran dan akhirnya buruknya nampak kat saya.


“Padahal saya selalunya akan berdiam diri dan bertolak ansur dalam banyak benda, sehinggalah keadaan betul-betul memerlukan saya bersuara, “ akuinya yang kini berada di bawah pengurusan Mind Order.


Berkongsi perkembangan terbaharunya, Syazwan bakal tampil dengan drama Kalis Kasih yang menyaksikan gandingannya bersama Elvina Mohamad, Mawar Rashid dan Amar Baharin.


“Selepas berada di bawah pengurusan Mind Order, jadual kerja saya lebih mudah kerana segalanya diatur dengan baik.


“Saya jenis yang tak pandai sangat nak bincang-bincang pasal tawaran  atau susun jadual kerja, jadi bila dengan diorang saya tak perlu lagi fikir pasal tu dan boleh fokus kerja saja,” kata Syazwan yang bakal muncul dengan filem terbaharunya tidak lama lagi.

 


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

Debat mesti berasaskan fakta bukan emosi: Azmin

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedia menimbang tawaran debat oleh Pemuda Umno sekiranya debat tersebut berasaskan fakta dan tidak berlandaskan emosi semata-mata.


Mohamed Azmin berkata, sekiranya debat itu bertujuan melontarkan emosi dan menzahirkan emosi, ia tidak membawa apa-apa kepada rakyat.


“Saya mengalu-alukan debat tersebut namun ia mestilah berasaskan kepada fakta supaya pencerahan dapat diperjelaskan kepada rakyat berkenaan isu perumahan rakyat yang dibangkitkan.


“Kita terima amalan sihat itu bagaimanapun debat itu mestilah dengan ilmu bukannya dengan emosi,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan Pesta Buku Selangor 2018 di SACC, di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran debatoleh Pemuda Umno mengenai isu perumahan rakyat yang gagal diselesaikan di Selangor ketika ini.


Cabaran itu dibangkitkan Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) Pemuda Umno, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin ekoran tindakan kerajaan Selangor membatalkan sembilan projek Skim Rumah SelangorKu membabitkan lebih 2,000 unit rumah mampu milik yang sepatutnya dinikmati rakyat di negeri ini.


Ketika ditanya adakah beliau benar-benar akan menerima pelawaan itu, beliau berkata, pihaknya perlu menyemak tawaran dan individu yang membuat tawaran terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.


“Bukan soal terima atau tidak, tetapi saya kena teliti juga siapa yang buat tawaran dan isu yang dibangkitkan,” jawabnya ringkas.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

Tiga beranak cedera kereta rempuh belakang lori

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


REMBAU – Tiga beranak berhadapan detik-detik mencemaskan apabila kenderaan dinaiki merempuh belakang lori kontena di kilometer 224.7, Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, awal pagi tadi.


Susulan kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba, Abdul Hakim Awang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 3.20 pagi.


Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid, sebaik tiba lokasi, kita dapati sebuah kereta jenis Proton Wira telah merempuh bahagian belakang lori kontena.


“Terdapat tiga mangsa yang cedera iaitu lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an ke 40-an serta kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.


“Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Port Dickson ke Melaka.  Mangsa yang telah dikeluarkan dari kenderaan telah diserahkan kepada pasukan paramedik untuk bantuan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Jual sayur bercampur bebola daging babi

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


TAMPIN – Seorang peniaga di Pasar Awam Gemencheh, di sini, yang langsung tidak sensitif dalam isu makanan halal telah dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan.


Isu berkenaan mula disebarkan oleh seorang pengguna semalam yang terkejut apabila mendapati sebuah bungkusan bertulis bebola daging babi dijual di pasar berkenaan dan diletakkan bersama-sama sayuran.


Menurut Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan, Ain ArjunaAziz Zaman, pihaknya telah membuat siasatan aduan di lokasi yang dinyatakan dalam sebaran maklumat melalui WhatsApp berkenaan.

Maklumat yang tersebar melalui group WhatsApp sejak semalam.


“Pegawai kita telah turun padang ke lokasi yang dinyatakan dan mendapati premis menjual sayur berkenaan menyimpan secara bercampur produk tidak halal bersama-sama produk yang mempunyai sijil halal di dalam peti ais bagi tujuan perdagangan.


“Tindakan peniaga ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.  Peniaga ini dikenakan tindakan di bawah kesalahan perkara 3(1), Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, tadi.

Produk tidak halal bercampur dengan produk halal telah ditemui dalam pemeriksaan berkenaan.


Dalam sebaran maklumat berkenaan, pengguna tersebut berasa kesal apabila peniaga berkenaan tidak mengakui kesilapannya dan dia bertindak meninggalkan sayuran yang dibelinya itu.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

1 2 3 4 5 48
Kembali UTAMA