PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

March 2018 - page 46

Amaran oleh SPRM, Guan Eng tak kisah

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Ketua Menteri, Lim Guan Eng tetap bertegas dengan pendiriannya untuk terus bercakap berkenaan isu terowong dasar laut walaupun diberi amaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin.


Guan Eng berkata, walaupun menyedari beliau akan ditahan kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu, beliau tidak kisah kerana apa yang dikatakannya sebelum ini berdasarkan kebenaran.


“Saya bertegas dengan apa yang saya sebut. Dulu pun SPRM kata nak ambil tindakan ke atas saya pasal kes tangkapan Phee (Exco Alam Sekitar, Phee Boon Poh) tapi tak ada pun.


“Dulu mereka kata tak akan ambil tindakan ke atas ahli politik, tapi mereka ambil tindakan pemimpin atasan pembangkang. Media BN keluarkan berita palsu, tidak pula ambil tindakan,” katanya kepada media tadi.


Dalam pada itu, beliau juga mempertikaikan tindakan SPRM yang disifatkan buat-buat tidak nampak dengan kes kapal layar mewah bernilai RM1 bilion milik hartawan, Jho Low yang dirampas di Indonesia.


Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengingatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Guan Eng supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelak apa yang diperkatakan menjadi satu fitnah.


Beliau berkata, peringatan itu membabitkan kenyataan berhubung kes penjualan tanah di mukim Ijok, Selangor dan projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Tiga lelaki berdepan hukuman mati

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Tiga lelaki berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah Methamphetamine pada Februari tahun lalu.  


Ketiga-tiga tertuduh, Affyzal Mohd, 32; Mohd Syafie Zainal, 35, dan Nazrin Wazed, 31, hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.  


Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.  Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama bagi mencapai niat mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 52.819kg, kira-kira jam 2.30 pagi di Taman Seri Mangga di sini, pada 17 Februari lalu.  


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.  


Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Sivashangari manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.  


Mahkamah kemudian menetapkan 18 April depan untuk tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Pemuda cipta kelainan perkenal sate keju meleleh

in Edisi Utara by


JITRA – Makan sate bersama keju mungkin kedengaran agak janggal, tetapi bagi mereka yang pernah menikmati makanan ini, kelazatannya nyata tidak dapat disangkal lagi.


Pengusaha Shahril Satay, Mohd Izani Abu Bakar, 32, berkata, idea unik menggabungkan sate bersama keju itu ilham dia bersama seorang rakannya, Shahril.


“Kami cuba cari kelainan, lagipun tengok orang Kedah ini rata-ratanya suka makan makanan yang ada ‘cheese’ (keju),” katanya ketika ditemui di gerainya di sini, semalam.


“Kami jaga kualiti makanan kami, sebab tu kami gunakan ayam segar jadi isi ayam akan lebih lembut dan sedap.


“Untuk daging pula, kami jamin, daging kami tak liat, sebab tu setiap gigitan daging itu pelanggan dapat rasa bahan perapan sate yang meresap masuk,” katanya.


Izani berkata, setelah beroperasi hampir tiga bulan di daerah ini, maklum balas diterima sangat baik.

Set sate cheese kahwin yang berharga RM11.90.


“Mula-mula dulu depa tanya sedap ka? Tapi alhamdulillah, bila depa dah cuba, ramai yang suka.


“Ada juga yang minat ambil tempahan untuk majlis dan saya turut buat servis penghantaran.


“Selalu pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lain-lain kolej kat sini, depa telefon pesan ramai-ramai.


“Jadi kami akan buat servis penghantaran ke asrama,” katanya yang turut mempunyai cawangan di Pendang, Gurun dan Bukit Besar.


Menurutnya, permohonannya untuk mendapatkan bantuan motosikal melalui program Usahawan Bergerak ([email protected]) juga telah diluluskan.


Gerai sate cawangan Jitra beroperasi setiap hari kecuali Isnin, dari jam 5 petang hingga 4 pagi, berhadapan kuarters Hospital Jitra.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Asrama SMK Tebedu terbakar, pelajar selamat

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Empat belas pelajar lelaki terselamat selepas sebuah bilik asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu di Serian kira-kira 100 kilometer dari sini terbakar hari ini.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.55 pagi, sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dan sebuah ambulans Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian.


Beliau sepasukan tiga anggota pasukan bomba sukarela (PBS) Bunan Gega turut membantu operasi itu.


“Bangunan asrama struktur kekal tiga tingkat tersebut menempatkan 286 pelajar, namun  kebakaran   hanya melibatkan sebuah bilik asrama lelaki di tingkat satu yang menempatkan 14 pelajar.


“Anggota yang tiba di lokasi mendapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak sekolah  menggunakan 35 alat pemadam api dan satu saliran salur bantu mula dari bangunan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pagi ini.


Beliau berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi bertindak membuat pemadaman sisa-sisa kebakaran yang masih ada untuk mengelak api hidup semula.


“Kejadian tidak melibatkan kecederaan, siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]

Polis, ATM adakan rondaan keselamatan di lapangan terbang

in Edisi Sabah Sarawak by


TAWAU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan serta merta rondaan kawalan keselamatan bersama di kawasan strategik di Lapangan Terbang Tawau.


Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Bukit Aman, Deputi Komisioner Hashim Ali berkata kolaborasi rondaan itu sebagai memberi isyarat bahawa keadaan keselamatan di Sabah khususnya Tawau dalam kawalan pihak berkuasa.


“Rondaan ini sebagai memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa pihak kerajaan menerusi PDRM dan ATM  sentiasa menitikberatkan tentang sebarang kemungkinan perkara boleh berlaku,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini selepas mesyuarat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 2 mengenai Penyelarasan Tugas Rondaan antara PDRM dan ATM yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada Khamis.


Dalam pada itu, Hashim berharap rondaan kawalan di lapangan terbang tersebut tidak disalahertikan kerana perkara itu hanya untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan keselamatan.


Sementara itu, beliau turut menyifatkan keselamatan negara terkawal meskipun terdapat ancaman yang perlu diberi perhatian termasuk ancaman keganasan berbentuk militan seperti Daesh.


Menurutnya di Sabah ancaman di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) adalah berdepan dengan kumpulan seperti Abu Sayyaf serta kumpulan lain yang melakukan penculikan dengan menyasarkan penduduk tempatan dan warga asing. – Bernama

 


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]

Mohamad enggan peduli kritikan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – “Walaupun ketua pembangkang Negeri Sembilan kata itu satu mimpi di siang hari, tidak apalah. Tapi saya sambung sampai malam.


“Dia hendak kata saya mimpi atau apa sekali pun, biarlah. Saya mempunyai matlamat dan cita-cita. Saya akan buat kerja untuk mencapai matlamat tersebut,” ujar Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Demikian respons beliau apabila hasrat BN untuk menawan kembali Parlimen Seremban dan Telok Kemang sebagai hadiah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, diperlekehkan.


Mohamad yang juga Menteri Besar sebaliknya menegaskan, tidak mustahil untuk meraih kemenangan di kedua-dua kawasan terbabit pada PRU14 sekiranya ada kesepaduan dalam parti.


“Jadi saya mohon kepada semua yang mengaku sebagai ahli parti, akurlah pada keputusan pucuk pimpinan. Sebab sebelum pucuk pimpinan memilih dan menamakan mana-mana calon, tapisan rapi telah dibuat.


“Maka calon yang difikirkan terbaik akan diberi mandat dan ditauliahkan untuk mewakili parti pada pilihan raya. Apabila itu berlaku, mari kita sama-sama buat gerak kerja.


“Senang-senang boleh menang lima Dun. Senang-senang boleh menang di Parlimen Telok Kemang. Kalau kita buat betul-betul, Parlimen Seremban pun akan jadi milik kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, kelmarin.


Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan cita-cita tinggi BN sekadar retorik bagi menaikkan semangat penyokong dan menarik pengundi.


Menurut beliau, bukan mudah untuk merampas kedua-dua kerusi berkenaan memandangkan sudah berada dalam penguasaan DAP dan PKR sejak dua penggal lalu.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

MPSP anjur HackFest 2018

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Bersempena dengan Hari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang disambut Julai depan, pihak berkuasa tempatan itu akan menganjurkan program ‘hackaton’ yang dikenali sebagai HackFest MPSP 2018 pada 13 hingga 15 Julai 2018.


Yang Dipertuanya, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, program bertemakan siber kaunter itu diadakan bagi meningkatkan kerjasama pelbagai pihak dalam mencorak hala tuju MPSP ke arah perkhidmatan yang lebih baik, efisien dan berteraskan teknologi baharu.


Menurutnya, tujuan penganjuran HackFest MPSP 2018 adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta daripada golongan muda berkenaan perkhidmatan MPSP serta mencungkil idea di dalam pembangunan sistem berkomputer berteraskan inovasi.


“Pemilihan tema siber kaunter adalah untuk meningkatkan perkhidmatan barisan hadapan MPSP kepada penduduk Seberang Perai. Oleh itu, cadangan penyelesaian yang perlu dikemukakan setiap kumpulan hendaklah menjurus kepada memudahkan masyarakat terutama penduduk Seberang Perai untuk berurusan dengan MPSP,” katanya.


Beliau berkata, program berkenaan terbuka kepada semua warga Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas secara berkumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada tiga hingga lima ahli.


Menurutnya, setiap kumpulan akan dikenakan yuran penyertaan RM30 dan penganjuran program berkenaan diadakan di Menara MPSP, Bandar Perda bermula 13 hingga 15 Julai depan.


“Kita menjangkakan 20 hingga 30 kumpulan akan mengambil bahagian.


“Setiap kumpulan diminta untuk membangunkan sama ada konsep, idea dan prototaip cadangan dalam masa 24 jam berdasarkan kepada taklimat yang akan diberikan pada hari pertama HackFest berkenaan dan akan dibantu kakitangan MPSP sebagai mentor semasa sesi pembangunan berkenaan iaitu pada hari kedua,” ujarnya.


Katanya, selepas tempoh 24 jam pembangunan berkenaan tamat, setiap kumpulan perlu mengemukakan hasil untuk semakan dan sesi pembentangan.


Setiap kumpulan juga akan menjalani proses penilaian melalui juri yang dipilih MPSP.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Murninya hati Pak Ya

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Di sebalik kejayaan setiap individu, tersemat semangat luar biasa dan keikhlasan tanpa mengharapkan balasan dalam merealisasikan impian mereka.


Zakaria Mat Yusof, 58, membuktikan walaupun dirinya Orang Kelainan Upaya (OKU), dia berjaya membuka kedai makan dan sanggup turun ke dalam anak sungai Juasseh Hilir bagi melaksanakan kerja murni bagi tujuan pembersihan.


Kedudukan anak sungai itu bersebelahan dengan kedai makannya dan menjadi rutin harian membersihkan anak sungai itu serta persekitaran kedainya.


Bekas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganggap tugas yang dilakukan itu sekadar suka-suka demi memelihara alam semula jadi daripada tercemar selain mengutamakan kebersihan.


Lebih mesra dipanggil Pak Ya, keikhlasannya melakukan tugas itu saban hari secara tidak langsung telah mempopularkan kedainya.


“Kalau tidak lakukannya, tidur tak lena, mula gelisah. Jadi, sebelum buka kedai jam enam pagi, Pak Ya akan bersihkan lantai agar berkilat dan air sungai jernih tanpa ada dedaun kering. Kalau orang nak mandi pun boleh.


“Pak Ya pun tidak sangka perbuatan membersihkan sungai dan kedai menjadi buah mulut orang ramai,” katanya.


Zakaria mengikut kata hatinya untuk terus berbakti tanpa menghiraukan tanggapan negatif masyarakat dengan mengutamakan kebersihan dan pelanggannya.


“Persekitaran kedai perlu bersih, barulah pelanggan datang dan bisnes pun maju. Kalau kotor, siapa pun tak datang.


“Sejak berniaga di sini, belum pernah ada pihak pejabat kesihatan melakukan pemeriksaan kerana kedai ini bebas daripada kekotoran.


“Walaupun terpaksa jalan dalam keadaan tempang akibat kemalangan dulu dan telah lakukan pembedahan sebanyak lapan kali di bahagian kaki kiri, ia tidak menghalang untuk Pak Ya meneruskan kerja ini,” katanya.


Katanya, pembersihan anak sungai itu bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik selain mengelakkan berlakunya banjir kilat di kampung ini.


“Kalau aliran air tersekat dek daun-daun kering pun boleh berlaku banjir, selain mengundang bau busuk hingga mendatangkan rasa tidak selesa kepada pelanggan.


“Justeru, demi memelihara kebersihan, Pak Ya tidak kisah lakukan kerja ini malah gembira serta bersyukur dilimpahi rezeki,” katanya.


Mula berniaga sejak 2013 atas bantuan JKM, kini Zakaria mampu berdikari bagi menyara keluarganya.


Selain itu, kesegaran air kelapa dijualnya turut mendapat sambutan menggalakkan setiap hari.


“Lazimnya buah kelapa berjaya dijual pada kuantiti 30 biji sehingga 50 biji sehari. Kalau cuaca panas, permintaan akan tinggi.


“Syukur semuanya rezeki dari pada ALLAH dan Pak Ya akan sentiasa jaga kebersihan,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

BR1M ringankan beban penerima

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BEMBAN – Rata-rata penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) melahirkan rasa syukur dan gembira apabila dipilih menerima bantuan itu tahun ini.


Bagi Che Ros Osman, 48, memandangkan dia tidak bekerja dan perlu menjaga ibunya, Che Mah Md Som 85, yang uzur, bantuan  tu sangmembantu dirinya.


Menurutnya, selain dapat menampung sedikit sebab keperluan harian, wang yang diterima diguna untuk membeli ubat-ubatan ibunya yang menghidap sakit jantung dan masalah penglihatan.


“Saya tidak pernah berkahwin dan tidak bekerja kerana perlu menjaga mak. Mak bergantung kepada saya seorang sahaja kerana saya tiada adik-beradik lain.


“Nasib baiklah mak dapat bantuan JKM dan dengan wang itulah kami hidup selama ini selain bantuan daripada saudara-mara lain.


“Sekurang-kurangnya ada wang lebih untuk kami bulan ini. Dapatlah saya beli barang-barang dapur dan keperluan lain,” katanya.


Bagi Zaleha Paimin, 41, pula, dia turut merasai kesannya kerana keluarganya juga berpendapatan rendah.


“Saya ada empat anak yang masih bersekolah dan pendapatan keluarga bergantung kepada suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.


“Bila dapat BR1M ni, memang saya gunakan sebaik mungkin untuk beli barangan dapur dan apa yang berpatutan,” katanya.


Menurut Derus Jaafar, 81, pula, dia menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan sendiri sahaja.


“Dah tua-tua ni takde apa nak beli. Tinggal pun dengan cucu dan keluarga lain. Duit makan minum pun mereka uruskan.


“Duit BR1M ni saya buat duit poket je lah. Apa pun saya berterima kasih kepada kerajaan,” katanya pada majlis penyerahan wang BR1M kepada 278 penerima baucar di Japerun Bemban di bawah pengurusan Bank Simpanan Nasional (BSN) Melaka.


Majlis penyampaian disempurnakan Adun Bemban, Datuk Ng Choon Koon dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah.


Sementara Choon Koon berkata, penerima BR1M dinasihatkan membuka akaun bank bagi memudahkan urusan mereka menerima pembayaran bantuan itu.


“Dengan adanya akaun bank, mereka tidak perlu lagi mengambil baucar dan menunaikannya. Bila tiba masa, pembayaran akan dibuat menerusi akaun,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

JPN serah laporan siasatan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Laporan siasatan insiden membabitkan pelajar Tingkatan Dua yang maut akibat terkena bilah pisau mesin rumput, telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan.


Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sembilan, Pkharuddin Ghazali  berkata, laporan tersebut diserahkan dua minggu lalu bagi membolehkan pihak kementerian menelitinya dengan lebih mendalam.


“Memandangkan kes ini di bawah siasatan polis, kita tidak mahu kacau siasatan yang sedang mereka lakukan, sama ada terhadap pemandu, pihak pengurusan sekolah mahupun pihak-pihak lain, biar polis buat siasatan.


“Tetapi bagi pihak jabatan, kita telah pun memberi penegasan kepada semua sekolah dan kontraktor sekolah Negeri Sembilan agar mematuhi SOP ditetapkan.


“Mana-mana kerja yang menggunakan jentera dan mesin, hanya boleh dilakukan pada waktu cuti sekolah atau selepas habis waktu persekolahan sahaja bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Surau Sekolah dan Dewan Terbuka Berbumbung Serta Penyampaian Bantuan Khas Persekolahan 1 Malaysia, di Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman Rantau, semalam.


Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Menurut Pkharuddin, sebelum ini pihak sekolah hanya diberi makluman bahawa setiap kerja-kerja pembersihan dilakukan setiap dua minggu sekali dan hanya boleh dilakukan semasa ketiadaan murid di padang.


Tetapi, kali ini katanya, penegasan terhadap SOP kerja perlu dipatuhi oleh semua pihak tanpa kompromi, demi menjaga keselamatan semua.


Tambahnya, jawatankuasa siasatan diketuainya itu turut disertai pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Tampin, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), hospital serta polis.


Dalam pada itu, Pkharuddin berkata pihak sekolah telah menyerahkan wang insurans pelajar sebanyak RM5,500 kepada keluarga pelajar yang maut.


“Saya telah menyerahkan insurans tersebut kepada keluarganya, dan mereka juga reda dengan insiden yang berlaku.


“Kita juga telah lakukan perbincangan secara bersama dan menganggapnya bahawa kejadian itu adalah satu kemalangan,” katanya.


Beliau berkata, pihak sekolah akan mengadakan sesi kaunseling secara berkelompok dan individu kepada pelajar terlibat.


“Pihak sekolah juga telah mengadakan taklimat mengenai aspek keselamatan kepada semua pelajar selain membuat kunjungan berjadual kepada tiga keluarga mangsa terbabit,” katanya.


Dalam kejadian 13 Februari lalu, Nur Afini Roslan, 14,  maut di lokasi,  manakala dua pelajar lelaki mengalami kecederaan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA