PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

March 2018 - page 48

Gesa kerajaan tangani kelajuan internet

in Nasional by


SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan mengambil tindakan bagi menjamin akses internet dengan kelajuan seperti di negara-negara maju lain.


Setiausaha AMK Melaka, Prasanth Kumar Brakasam berkata, walaupun isu itu sudah lama dibangkitkan, namun kelajuan internet di negara ini dikatakan paling lembap berbanding negara maju lain.


Katanya, ia berdasarkan laporan OpenSignal (wireless coverage mapping specialist) dari United Kingdom, baru-baru ini yang menyatakan internet 4G di Malaysia antara paling lembap di dunia.


“Rakyat Malaysia inginkan satu penyelesaian konkrit daripada kerajaan untuk mengatasi masalah ini.


“Melihat kepada realiti hari ini, yang mana industri mudah alih semakin meluas, pengguna media sosial yang meningkat dan pelaksanaan urus niaga elektronik (e-dagang) semakin melonjak tinggi statistiknya,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Selain itu, Prasanth Kumar mendakwa, harga caj langganan internet di Malaysia adalah lima hingga 10 kali ganda lebih mahal berbanding negara-negara maju seperti Korea, Hong Kong dan Singapura.


Justeru katanya, jika PRU14 memihak kepada Pakatan Harapan sebagai kerajaan, beliau memberi jaminan untuk mengenakan harga lebih murah terhadap penggunaan internet, selain menggandakan kelajuannya sebanyak dua kali ganda dari sekarang, dengan kadar separuh daripada harga semasa.


“Harapan juga menjanjikan capaian internet meliputi seluruh kawasan termasuk luar bandar,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Pembantu Trump letak jawatan

in Global by


WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Seorang daripada pembantu paling lama berkhidmat di bawah Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Hope Hicks, meletak jawatan sebagai Pengarah Komunikasi, kata Rumah Putih semalam.


Trump berkata, pembantunya itu melakukan tugas dengan cemerlang sejak tiga tahun lalu.


Hicks adalah individu utama di sebalik kempen pilihan raya Republikan sebelum menyertai Trump di Rumah Putih.


Setiausaha Rumah Putih, Sarah Sanders berkata, tiada garis masa ditetapkan untuk pengunduran Hicks dan menafikan sebagai kaitan antara keputusannya dan panel siasatan Kongres terhadap campur tangan Russia dalam Pilihan Raya Presiden 2016 pada Selasa.


Ketika kemunculannya di hadapan Jawatankuasa Perisikan Kongres, Hicks terperangkap untuk menjawab soalan diluluskan sebelumnya dan enggan menjawab banyak soalan lain dilontarkan oleh pembuat dasar.


Menurut pembuat dasar yang hadir dalam sesi tertutup, tindakan itu bermaksud mengelak soalan mengenai tugasnya dan hubungan Rumah Putih dengan Rusia.


Hicks dianggap individu paling berahsia dalam Rumah Putih sejak Trump mengambil alih jawatan itu setahun lalu. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]

KMN sokong saranan agamawan terhadap Neelofa

in Nasional by


SHAH ALAM – Srikandi Kesatuan Melayu Nasional (KMN) menyokong saranan dibuat beberapa pihak termasuk ilmuwan agama terhadap Neelofa.


Presidennya, Halizatulakema Lias berkata, sebagai ikon masyarakat, usaha murni dibuat Neelofa harus dipuji kerana mahu mengajak wanita muslimah berhijab, namun yang dikesalkan lokasi pelancaran dan beberapa acara sepanjang majlis berlangsung.


“Mungkin beliau terlepas pandang dan buat pelancaran di tempat tidak sepatutnya .


“Ini membawa imej yang tidak baik kepada kesantunan dan susila wanita Islam itu sendiri,” katanya dalam  kenyataan, semalam.


Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan memberi Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 29, tiga nasihat berikutan tindakannya melancarkan koleksi tudung terbarunya, BeLofa di Zouk, malam kelmarin.


Muftinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, perkara pertama  tanyalah ulama sebelum bertindak; kedua, sentiasa pelihara imej wanita bertudung dan ketiga, carilah rezeki diberkati ALLAH SWT.


Mengulas lanjut, Halizatulkema berharap semua pihak yang ingin melakukan kebaikan supaya lebih peka supaya kebaikan dilakukan dijauhi daripada fitnah dan tohmahan.


“Pandangan dan nasihat daripada semua pihak terutama golongan cerdik pandai dan ilmuwan agama  harus diambil kira agar segala kebaikan yang kita lakukan selari dengan tuntutan syarak,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Hampir 2,000 ekor ayam terjual!

in Edisi by


GUA MUSANG – Hampir 2,000 ekor ayam dijual dalam Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) 2018 di Dataran Kesedar, di sini.


Pemilik Mat Ali Enterprise (MAE), Kamarul Azli Mat Ali, 36, berkata, dari jam 2 hingga 5 petang, gerainya diserbu setiap kali ayam diletakkan di meja jualan.


“Alhamdulillah, hampir 2,000 ekor terjual dalam PJSR kali ini dimana kita sendiri tidak menang tangan melayan pelanggan walaupun lebih 10 pekerja.


“Tak sampai 10 minit setiap kali ayam diletakkan di meja jualan, ia habis diserbu kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah iaitu RM5.90 sekilogram,” katanya.


Program yang dirasmikan Adun Galas, Ab Aziz Yusoff, dikunjungi lebih 2,000 pengunjung.


Sementara itu, Ab Aziz berkata, program tersebut adalah usaha kerajaan membantu masyarakat luar bandar mendapat barangan keperluan dengan harga lebih murah.


“Melihat kepada sambutan yang diterima, program ini kemungkinan besar akan diteruskan pada masa akan datang.


“Dengan cara ini, masyarakat dapat menikmati barangan dengan harga yang jauh lebih murah berbanding pasaran biasa,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]

Lebih 1,000 sertai kayuhan Expo Terengganu

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Lebih 1,000 penggemar sukan berbasikal di negeri ini menyertai program Fun Ride anjuran Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bersempena Expo Terengganu 2018  yang berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak, malam semalam.


Penolong Pengarah MSNT, Nasree Najmi berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila hampir kesemua ahli kelab-kelab berbasikal di setiap daerah termasuk Setiu, Dungun dan Kemaman turun padang untuk turut sama beriadah.


Menurutnya, kayuhan sejauh sejauh 23 kilometer itu bakal mengambil masa antara sejam hingga ke sejam setengah di mana peserta perlu melalui Bulatan Batu Enam, Jambatan Pulau Sekati, Cabang Tiga, Jambatan Sultan Mahmud , Pulau Duyong, Bukit Tumbuh dan kembali ke Kompleks Sukan Gong Badak.


“Pada acara yang julung kali diadakan ini kita turut menyediakan hadiah lumayan kepada peserta yang bertuah dengan hadiah wang tunai RM1,000 bagi cabutan bertuah pertama dan RM500 kepada pemenang bertuan kedua dan ketiga.


“Selain hadiah wang tunai kita turut menyediakan hadiah barangan elektronik kepada peserta melalui cabutan bertuah yang dilakukan selepas tamat acara kayuhan,” katanya.


Dalam pada itu, Nasree berkata, MSNT akan terus memperhebatkan acara-cara sedemikian dalam usaha melahirkan masyarakat sihat menerusi aktiviti sukan selain mengcungkil bakat-bakat baharu sukan berbasikal pada masa akan datang.


Pada program itu, peserta dari Kelab BMCC, Asyraf Syazwan Mazuki berjaya dinobatkan selaku peserta bertuah dengan membawa pulang hadiah wang tunai yang disampaikan sendiri, Nasree Najmi selepas tamat kayuhan santai Expo Terengganu 2018.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

TCFC enggan mudah mengalah

in Sukan by


MESKIPUN bakal berdepan penyandang juara dua kali berturut-turut, namun skuad Terengganu City FC (TCFC) enggan mudah mengaku kalah sebelum turun membuat perhitungan bertemu Kelantan dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu malam esok.


Pengendalinya, Mohd Noor Mohd Derus mengakui walaupun di atas kertas pasukannya dilihat bakal berdepan laluan getir untuk mara ke pusingan seterusnya, tetapi ia bukan alasan buat anak buahnya untuk memberi laluan mudah buat mereka sebaliknya menjanjikan aksi terbaik sepanjang perlawanan itu nanti.


Menurutnya, pemain perlu memberikan komitmen lebih seratus peratus diatas padang dan bersedia menyerap apa jua bentuk tekanan yang diberikan, selain berwaspada terhadap ancaman yang bakal diberikan kem tuan rumah.


“Kita perlu realistik dengan kualiti pemain yang ada ini kerana mereka sememangnya  perlu bersaing dengan pasukan yang jauh lebih kuat dan beraksi di Liga Super.


“Jadi pemain bukan sahaja  perlu bekerja dengan lebih keras bahkan  memberikan aksi terbaik mereka sepanjang perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang bola Kampung Tualang, Manir, semalam.


Mengulas lanjut, bekas pemain skuad Penyu itu berkata, pasukannya sudah bersedia dengan beberapa strategi dan taktikal untuk mengimbangi rentak permainan Kelantan serta mengharapkan pemain dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik di atas padang nanti.


Katanya,  pemain  perlu memainkan peranan mereka dengan baik memandangkan pasukan Kelantan memiliki ramai pemain berpengalaman termasuk awang import yang semakin berbisa dalam meledakkan gol buat pasukan.


“Justeru, pemain perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah dan cuba melakukan serangan serta bertahan dengan baik  selain berusaha mengawal pergerakan pemain lawan daripada menguasai perlawanan.


“Saya yakin sekiranya pemain dapat melaksanakan arahan dengan baik dan mempamerkan displin yang tinggi kita mampu memberikan keputusan membanggakan kerana percaya dalam bola sepak apa jua boleh berlaku,” katanya.


Kem TCFC berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA setelah mencipta kebangkitan daripada ketinggalan 0-1 ke atas Jerantut FA  dengan meraih kemenangan 2-1 menerusi dua jaringan  Mohd Rahizi Mohd Rasid .


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Penangan durian Musang King RM5

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Penangan harga RM5, sebanyak 200 anak pokok durian Musang King dan IOI-Hajah Hasmah yang dijual gerai Jabatan Pertanian pada Ekspo Terengganu 2018 habis terjual tidak sampai setengah jam dalam jualan ‘happy hour’.


Penolong Pegawai Pertanian Kompleks Pertanian Negeri Ajil, Hulu Terengganu, Mohd Azwan Mamat berkata, harga istimewa itu ditawarkan sebagai pengenalan, selain menggalakkan lebih ramai orang menanam pokok durian Musang King, yang menjadi sumber kekayaan baharu negara.


Menurutnya, ia juga selari dengan kempen yang dilakukan Jabatan Pertanian iaitu ‘satu rumah, satu pokok’ dalam menggalakkan masyarakat menanam dan meningkatkan pertumbuhan pokok.


“Harga RM5 itu kita tawarkan hanya pada ‘happy hour’ dan pada waktu lain, anak pokok Musang King kita jual pada harga RM18.


“Selain durian, kita juga menjual anak pokok nangka (Tekam Yellow) pada harga RM5, kelapa pandan (RM6), RM3.50 bagi durian Belanda, limau kasturi dan limau nipis manakala kelapa MRD dan kelapa MYD dijual pada harga RM4.


“Bagaimanapun, anak pokok Musang King ini kita hadkan jualan dan setiap orang dihadkan tiga pokok bagi mengelakkan orang lain mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, semalam.

Azwan (kanan) menunjukkan anak pokok durian Musang King yang dijual.


Jelas beliau, kesemua bekalan anak pokok itu dibawa dari Kompleks Pertanian Negeri Ajil, Hulu Terengganu.


Selain membuat jualan, pihak jabatan juga memberikan khidmat nasihat tentang cara-cara menanam pokok, pembajaan, bagaimana tangani jika ada penyakit dan pengetahuan asas dalam bertani.


“Sebenarnya kempen ‘satu rumah, satu pokok’ ini sudah lama tapi masyarakat kurang prihatin tentangnya, jadi kita ambil langkah membuat promosi supaya dapat menggalakkan lagiorang ramai supaya beli pokok dengan harga jabatan (murah) dan dengan variati tulen.


“Melihatkan sambutan yang di luar dugaan ini, kita jangkakan hari terakhir ekspo iaitu pada Sabtu ini akan lebih hangat,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Perlu akur keputusan mahkamah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Tindakan kerajaan negeri membawa kes kenaikan cukai taksiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ke Mahkamah Persekutuan hanya akan membebankan rakyat di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.


Menyuarakan kekesalan beliau, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, tindakan ini hanya akan memanjangkan isu berkenaan walaupun sebelum ini Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kenaikan cukai taksiran berkenaan adalah tidak sah.


Menurut beliau, sekiranya berjiwa rakyat, kerajaan negeri sepatutnya menerima keputusan dua mahkamah berkenaan dan memulangkan semula cukai taksiran yang dibayar lebih oleh penduduk.


“Kerajaan negeri patut contohi Kerajaan Selangor di mana mereka bukan sahaja tidak menaikkan cukai taksiran, tetapi turut mengecualikan pembayaran cukai taksiran kepada pemilik rumah kos rendah.


“Dalam konteks ini, saya juga ingin merayu kepada Ketua Menteri Melaka supaya beliau membatalkan hasrat membuat rayuan ini dan seterusnya mengekalkan cukai taksiran pada kadar lama selain memulangkan semula cukai  yang terlebih bayar oleh penduduk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Pada Ogos 2016, Mahkamah Tinggi Melaka memutuskan bahawa tindakan MPHTJ menaikkan cukai taksiran untuk kawasan pentadbiran mereka adalah tidak sah.


Ekoran keputusan itu, kes berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Rayuan di mana pada Mac 2017, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kenaikan terbabit adalah tidak sah.


Menurut Poay Tiong, susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, kerajaan negeri telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan di mana tarikh perbicaraannya masih belum diputuskan.


Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan masih belum diselesaikan dan buat masa ini, MPHTJ masih mengenakan cukai taksiran baharu berkenaan.


“Ramai penduduk di kawasan MPHTJ telah menghubungi saya mengenai perkara ini kerana mereka ingin tahu apa status cukai taksiran ini memandangkan sebelum ini mahkamah sudah memutuskan ia sebagai tidak sah.


“Dari apa yang saya difahamkan, MPHTJ sudah mula mengutip cukai taksiran baharu ini semenjak suku kedua 2015 lagi,” katanya.


 


 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Gajah jantan ditangkap

in Edisi Johor by


KLUANG – Perhilitan Johor berjaya menangkap seekor gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di sekitar Kampung Sri Lukut, Kahang, di sini, pada 22 Februari lalu.


Gajah jantan yang mempunyai anggaran usia dalam lingkungan 40 tahun itu ditangkap di kawasan Kampung Sri Lukut, Kahang, dekat sini jam 10.30 pagi.


Pengarah Perhilitan Johor, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, anggotanya memulakan operasi menjejaki gajah itu 20 Februari lalu sebaik menerima laporan kehadiran haiwan tersebut yang kerap dilihat di kawasan tanaman dan penempatan penduduk, awal bulan ini.


Katanya, dengan bantuan penduduk setempat, pihaknya berjaya menangkap seekor gajah jantan di kawasan berhampiran ladang kampung berkenaan.


“Gajah yang ditangkap itu pagi tadi berjaya dibawa keluar untuk dipindahkan ke Taman Negara Endau-Rompin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Jamalun berkata, pihaknya yakin dengan tertangkap gajah tersebut dapat mengurangkan kebimbangan penduduk.


Bagaimanapun, beliau berkata, pemantauan secara berterusan akan dijalankan di kawasan tersebut kerana dipercayai masih banyak gajah liar berada di kawasan berkenaan.


“Gajah liar yang berada di kawasan tersebut tidak duduk setempat haiwan ini akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari makan.


“Jadi, kami pemantauan akan lebih kerap dilaksanakan di kawasan terlibat dengan serangan


“Operasi melibatkan 15 anggota melibatkan Perhilitan negeri Johor dan pasukan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]

1 46 47 48
Kembali UTAMA