Bantu pengusaha IKS kembang perusahaan

in Edisi Johor by


TANGKAK – Seramai 22 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan tanaman fertigasi dalam kawasan Dun Gambir menerima bantuan di bawah Program Galakan Usahawan (PGU) dengan jumlah keseluruhan RM133,830.


Adun Gambir, Datuk M Asojan berkata, usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan sejak 2008 itu bertujuan untuk membantu pengusaha IKS yang menjalankan aktiviti mereka pada skala kecil mengembangkan perusahaan mereka.


Menurutnya, bantuan yang disalurkan dalam bentuk peralatan dapat membuka ruang kepada usahawan IKS meningkatkan pendapatan mereka sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup mereka.


“Ini sebahagian langkah kerajaan untuk membantu usahawan kecil yang berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membeli mesin dan peralatan. Pengusaha tanaman fertigasi juga turut diberikan bantuan untuk mengembangkan keluasan tanaman mereka.


“Menerusi program Pertanian Rakyat, Jabatan Pertanian turut mengagihkan benih durian Musang King, durian belanda, limau kasturi dan kelapa pandan bagi membolehkan masyarakat menanam pokok tersebut di kawasan rumah masing-masing,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Program Galakan Usahawan dan Pertanian Rakyat Daerah Tangkak untuk Dun Gambir di Kompleks Mohd Janis Sdn Bhd di Bukit Gambir, di sini, baru-baru ini.


Program dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri. Hadir sama Pegawai Pertanian Daerah Tangkak, Mohd Hafizh Hussain.


Sementara itu, Hamim dalam ucapannya berharap semua penerima bantuan berkenaan dapat mengguna dan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan itu untuk menambah pendapatan atau membesarkan perusahaan mereka.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]