
IPOH – Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan berkemungkinan tidak terpilih sebagai calon pada PRU14 ini.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, ini berikutan keadaan kesihatan wakil rakyat itu yang masih memerlukan rawatan rapi selepas mengalami pendarahan di kepala.
“Perkembangan kesihatannya positif, namun masih dalam peringkat terapi kerana berkeadaan separuh lumpuh.
“Namanya masih ada dalam senarai calon kita, namun potensi untuk bertanding dalam tempoh terdekat ini agak payah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto PRU14 Pas Perak di Hotel Kinta Riverfront, malam semalam.
Februari lepas, Mohd Zawawi, 41, ditemui tidak sedarkan diri sebaik terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Tebuk Panchur, Gunung Semanggol.
Selepas sebulan menjalani rawatan, beliau kini menunjukkan tanda pemulihan positif meskipun masih tidak mampu bercakap.
Pada PRU13 lalu, Mohd Zawawi menewaskan calon BN, Zulkarnain Ismail dan calon Bebas, Halidi Wahab dengan majoriti undi 1,450.
Mengenai kedudukan calon, Razman berkata, 45 kerusi Dun telahpun mempunyai senarai tetap calon kalangan Pas dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
Manakala 14 kerusi Dun lagi akan ditawarkan kepada rakan daripada Gagasan Sejahtera.
“Kita mengumumkan untuk bertanding di semua 59 kerusi Dun Perak, ini membuktikan bahawa tiada langsung hubungan kerjasama dengan Umno.
“Dengan ketetapan ini, kita berkeyakinan untuk menang sekurang-kurangnya di 30 kerusi Dun,” katanya.
Selain Gunung Semanggol, pada PRU13 lalu, Pas turut memang di tiga lagi kerusi Dun iaitu Kuala Selinsing, Titi Serong dan Sungai Rapat.
Sementara satu kerusi Parlimen Bukit Gantang ditandingi Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas.
#prusinar #aparakyatmahu
Source: SH Politik
[featured-video-plus]