Panas tak seteruk tahun lalu

in Edisi Utara by


PEDU – Cuaca panas yang melanda Padang Terap kini tidak menjejaskan bekalan air di Empangan Pedu seperti yang berlaku tahun lalu.


Pengusaha rumah bot, Amir Wahab, 42, berkata, walaupun suhu kali ini mencecah hingga 38 darjah celsius, tetapi bekalan air di empangan mencukupi.


Katanya, pada tahun lalu, paras air empangan yang surut turut menjejaskan perniagaannya.


“Masa tu, warna air empangan bertukar dan aktiviti melancong di sini turut terganggu. Pelancong pergi ke tempat lain.


“Paras air menyusut dalam empangan menyebabkan pemandangan menjadi kurang menarik dan mereka yang menempah untuk bermalam di situ, membatalkan tempahan,” katanya.


Pada tahun ini, walaupun kemarau tetapi air yang penuh di dalam empangan menawarkan pemandangan indah kepada pelancong dan mereka juga dapat bermandi-manda dengan sempurna.


Menurut Amir, ia membolehkan pelancong melakukan pelbagai aktiviti seperti berenang di dalam kolam, berkayak serta menikmati pemandangan cantik pada waktu senja.


Ahmad Awang, 67, berkata, pencari madu di kawasan itu sangat bersyukur kerana kemarau yang melanda hari ini tidaklah panas seperti dahulu.


Katanya, cuaca panas turut memberi kesan kepada pungutan madu lebah yang memang terkenal di daerah ini.


“Pada musim panas yang lalu banyak pokok tidak berbunga dan menjejaskan pengeluaran madu di daerah ini.


“Malah, banyak sarang kelulut kosong kerana berhijrah.


“Tahun ini agak berlainan, walaupun cuaca panas, pokok di sekitar kawasan ini sudah mula berbunga dan keadaan  ini mampu meningkatkan pengeluaran madu,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]