Pas dakwa strategi tersusun beri kemenangan pada BN

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Pas menyifatkan laporan kajian semula syor persempadanan semula yang diluluskan Dewan Rakyat, Rabu lalu sebagai strategi tersusun bagi memberi kemenangan kepada BN dalam PRU14.


Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat mendakwa, langkah yang diambil itu jelas tidak telus malah sebagai taktik memastikan kerajaan sedia ada berpeluang untuk menang.


“Persempadanan semula di Terengganu ni menunjukkan BN makin terdesak. Mereka tak boleh main dalam padang yang sama rata.


“Jadi, mereka terpaksa menjuruskan tiga Dun untuk diambil balik menggunakan cara  tidak betul,” katanya ketika ditemui selepas Program Dialog Rakyat, di Hotel Tanjung Vista, kelmarin.


Mengulas mengenai kawasan yang berubah, Satiful berkata ia melibatkan beberapa kawasan antaranya Dun Tepoh, Dun Rantau Abang serta di kawasannya sendiri di Dun Paka.


“Dun Tepoh misalnya ialah kawasan kubu kuat namun ia dialih ke kawasan Batu Rakit, yang menyebabkan secara atas kertas, kemenangan yang diperoleh pada PRU13 dah jadi kalah.


“Begitu juga di Dun Rantau Abang, kawasan rumah yang berhormat (YB) sendiri masuk dalam Dun Sura sedangkan Dun Sura tu menang dah ribu-ribu. Ini bermakna, dari segi kiraan atas kertas, Dun Rantau Abang dah kalah,” katanya.


Dalam pada itu, mengulas mengenai perubahan 4,174 pengundi di kawasannya di Dun Paka, Satiful berkata, perubahan itu tidak menunjukkan ketelusan dalam persempadanan semula.


“Di Dun saya, kalau dikira persempadanan mukim kenapa tidak diambil semua selepas Bukit Bauk, Batu Lima dan juga Dun Sura, tetapi dia ambil Dun Sura sahaja.


“Kalau kira persempadanan semula mukim Sura masuk Batu Lima, tetapi dia ambil dengan kadar 4,600 undi, kalau kira atas kertas maknanya saya menang di Unit Peti Undi (UPU) tersebut dengan lebihan seribu majoriti,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Satiful mendakwa, perubahan dilakukan itu bagi menyusun kemenangan kepada BN disebabkan masih parti itu tidak yakin dengan situasi dan ‘mood’ yang ada pada rakyat negeri ini.


“Kalau betul rakyat Terengganu ingin berubah, dia ‘kona’ ikut mana pun, kita tetap akan menang,” katanya.


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]