Penantian 30 tahun berakhir

in Edisi by


TANAH MERAH – Penantian lebih 30 tahun penghuni madrasah Darul Mutaqin dan lebih 600 penduduk Kampung Lepan Bola, Batu Gajah berakhir apabila Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia membina telaga tiub di kawasan itu.


Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,(RMK-11) itu bernilai RM 110,531 dan telaga berkenaan yang mempunyai kedalaman 100 meter mampu membekalkan 192,000 liter air bersih sehari.


Telaga tiub berkenaan siap sepenuhnya 10 Ogos tahun lalu dan mempunyai sistem penapisan air yang ringkas yang dipasang bagi memastikan kualiti sumber air bersih dapat dibekalkan.


Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Suhaimi Mamat berkata, dengan pembinaan telaga tiub di kawasan Lepan Bola diharap dapat membekalkan bekalan air bersih yang mencukupi.


“Kita juga ingin mengingatkan supaya pihak madsarah turut mementingkan penjagaan sistem keselamatan terhadap telaga tiub yang dipasang itu.


“Pihak JGM akan sentiasa membantu memberi khidmat nasihat teknikal untuk penyelenggaraan bagi memastikan kualiti air tidak tercemar.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas merasmikan majlis penyerahan projek telaga tiub Madrasah Darul Mutaqin Kampung Lepan Bola, Batu Gajah di sini hari ini.


Hadir sama,Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Shahar Effendi Abdullah dan Setiausaha Bahagian Mineral dan Geosains Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Abdul Aziz Mohd Johdi.


Sementara itu, Suhaimi turut mengharapkan agar penduduk dan penghuni Madrasah Darul Mutaqin dapat memanfaatkan bekalan air tanah dengan sebaik-baiknya dan usaha itu akan diteruskan di kawasan lain bagi membantu pihak yang memerlukan bekalan air bersih.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]