Pesara guru rugi RM2.9 juta ditipu Macau Scam

in Edisi Johor by


PONTIAN – Seorang pesara guru kerugian RM2.9 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai kanan polis sejak tiga bulan lepas.


Kejadian penipuan berkenaan berlaku selepas mangsa yang berusia 60 tahun menerima panggilan dari pegawai bank memberitahu mangsa mempunyai tunggakan pinjaman sebelum talian itu disambungkan kepada ibu pejabat polis.


Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, mangsa diminta membuat bayaran wang jaminan kerana mendakwa akaun bank mangsa terlibat dengan kes-kes jenayah seperti penggubahan wang haram.


Menurutnya, wang jaminan tersebut merupakan helah suspek yang kononnya memberikan bantuan bagi ‘membersihkan’ akaun bank mangsa daripada kegiatan jenayah.


“Difahamkan mangsa menyerahkan nombor pin transaksi perbankan internet termasuk nombor akaun TAC perbankan kepada suspek.


“Semakan yang dilakukan mendapati berlaku 21 transaksi pemindahan wang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.9 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini, hari ini. 


Katanya, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas mendapati kesemua wang di dalam akaun banknya habis pada awal Mac lalu dan suspek tidak lagi dapat dihubungi oleh mangsa.


“Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di IPD Pontian.  Mangsa dipercayai mempunyai banyak hartanah dan pelaburan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Polis kini sedang giat mengesan suspek. Kes Macau Scam melibatkan pesara guru ini merupakan nilai kerugian tertinggi direkodkan di Pontian setakat ini,” katanya.


Justeru beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak cemas apabila menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali.


“Orang ramai juga diminta sentiasa melayari portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).


“Semakan akaun yang digunakan bagi penipuan boleh dilakukan pada pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]