'Ramai datang ceramah tak jamin menang’

in Politik by


PETALING JAYA  – Kehadiran jumlah kehadiran penyokong dalam sesuatu ceramah atau program politik tidak dapat dijadikan jaminan bagi kemenangan sesebuah parti dalam PRU14 nanti.


Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, namun begitu, jumlah kehadiran penyokong tersebut dapat dijadikan indikasi bagi menunjukkan xx terdapat pergerakan daripada rakyat untuk menyatakan sokongan terhadap sesebuah parti itu.


“Kita lihat pada tahun 1999 lalu ketika berlaku reformasi, kehadiran lebih daripada puluhan ribu malah ratus ribu.


“Tetapi dalam pilihan raya 1999, PKR hanya menang lima kerusi Parlimen sahaja,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Maqasid Syariah 2018 yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ, semalam.


Redzuan berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita yang bertanyakan sama ada jumlah kehadiran penyokong dalam sesebuah program atau ceramah dapat menjamin kemenangan parti dalam PRU14 nanti.


Sebelum ini, ceramah perdana Jelajah Pakatan Harapan (Harapan) di Guar Chempedak mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat yang hadir bagi mendengar ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Sehubungan itu, Redzuan berkata jumlah kehadiran tidak dapat dijadikan sebagai kesimpulan bagi kemenangan sesebuah parti berikutan kemenangan hanya ditentukan melalui peti undi.


“Untuk menjadikan itu sebagai satu kesimpulan saya kira tidak boleh kerana akhirnya yang menentukan kemenangan adalah peti undi,” katanya.


Mengulas mengenai seminar tersebut, Redzuan berkata, pelaksanaannya program tersebut adalah berdasarkan kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun 2016 lalu yang berhasrat untuk mengangkat maqasid syariah dalam pentadbiran kerajaan negeri.


Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) memaklumkan bahawa masyarakat umum juga kini sudah mula menunjukkan minat yang tinggi terhadap maqasid syariah.


“Tapi disebabkan maqasid syariah ini merupakan satu perkara baru, maka menjadi tanggungjawab IDE untuk memperjelaskan kepada masyarakat,” katanya.


Dalam pada itu, Redzuan berkata, pihaknya turut melancarkan buku Kompedian Maqasid al Syariah bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat berhubung istilah sebenar maqasid syariah.


Beliau berkata, dalam konteks Malaysia pada hari ini, pelaksanaan maqasid syariah adalah sesuatu yang relevan bagi  masyarakat berbilang kaum untuk memahami kerukunan hidup berdasarkan pelaksanaannya.


“Pelancaran ini adalah satu usaha bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang perkara asas secara keseluruhannya,” katanya.


#prusinar #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]