Sangkal dakwaan persempadanan dibuat tergesa-gesa

in Nasional by


SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menyangkal dakwaan yang mengatakan usul persempadanan semula oleh SPR yang diluluskan Dewan Rakyat dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak mengikut lunas undang-undang serta perlembagaan seperti didakwa Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurutnya, proses persempadanan semula kawasan pilihanraya juga bukanlah satu perkara yang baru atau luarbiasa untuk dilakukan dan dalam sejarah negara ini, perkara itu telah beberapa kali dilaksanakan terutamanya sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.


“Maknanya, sebelum ini telah beberapa kali dilakukan oleh kerajaan. Kemudian, dari segi peraturan atau undang-undang, sudah tentu pesempadanan ini tidak sedikit pun menyalahi peraturan atau pun undang-undang yang digariskan sebagaimana dalam perlembagaan.


“Kalau Anwar dakwa bahawa ia dilakukan secara tergesa-gesa, itu tidak benar kerana SPR telah melakukan proses yang sepatutnya sejak dari awal lagi, sebelum usul ini dibawa dan dibentangkan di Parlimen. SPR telah memenuhi semua proses sepatutnya sebagaimana yg dikehendaki oleh undang-undang, jadi tidak timbul isu ia dilakukan secara tergesa-gesa.


“Malah, rakyat dan pelbagai pihak yang berkepentingan telah diberikan peluang secukupnya untuk membuat bantahan atau menyuarakan pandangan sebelum ini. Dan kita juga dapat lihat ia dimanfaatkan oleh pihak tertentu terutama parti pembangkang sehingga membawa kes bantahan hingga ke makamah rayuan. Justeru, dakwaan tergesa-gesa adalah tidak benar


“Jangan melihat proses di Parlimen sahaja. Itu sebahagian proses sedangkan proses persempadanan telah dilaksanakan lebih setahun lalu, maknanya bukan tergesa-gesa. Dan di Parlimen, semua pihak diberikan peluang untuk berbahas dan undian juga dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian.


Terdahulu, Anwar menerusi kenyataan media, mengkritik usul persempadanan semula yang diluluskan Dewan Rakyat selain mendakwa proses itu gagal mematuhi lunas undang-undang.


Selain itu, Anwar berkata, kerajaan BN dilihat dalam keadaan terdesak apabila tergesa-gesa meluluskan usul persempadanan semula yang hanya diberi masa kira-kira dua jam untuk dibahas selain meluluskan Rang Undang Undang AntiBerita Tidak Benar.


Mengulas berhubung kritikan Anwar terhadap akta berita palsu, Shamsul Anuar berkata, mana-mana pihak tidak perlu takut dengan akta berkenaan memandangkan akta itu hanya dikenakan kepada mereka yang menyebarkan berita palsu dan fitnah.


“Berkaitan RUU AntiBerita Tidak Benar, kenapa perlu kita takut? Akta ini hanya akan dikenakan kepada mereka yang menyebarkan berita palsu dan berkaitan dengannya sahaja. Kalau kita tidak membuat salah apa yang kita takut?.


“Jangan anggap ia menyekat kebebasan bersuara, kebebasan bersuara tidak bermakna kita boleh melakukan apa saja hingga menyalahi peraturan dan memusnahkan negara.


“Apa yang lebih mustahak, akta berita palsu diperkenalkan bertujuan mahu melindungi rakyat, itu yang paling penting,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]