Satar gulung Serasa Asli dapat sambutan luar biasa

in Edisi Terengganu by


KUALA KEMAMAN – Idea kreatif seorang usahawan berstatus nenek 10 cucu memodenkan makanan tradisional dengan memperkenalkan satar gulung pada tiga tahun lalu mendapat sambutan luar biasa apabila satar gulungnya itu sangat laris.


Wan Zainab Wan Othman, 60, yang juga pemilik produk jenama Serasa Asli berkata, satar gulung itu dimodenkan bagi membolehkan orang ramai dapat menikmatinya pada bila-bila masa kerana ia hanya perlu digoreng tidak seperti satar biasa yang dibungkus dalam daun pisang dan perlu dibakar.


Menurutnya, dia nak mudahkan orang ramai untuk makan satar, biar makanan tradisional yang jadi identiti Kemaman ini terus digemari ramai.


“Satar gulung yang kita jual dihasilkan dari 14 bahan, bahan utamanya adalah isi ikan, kelapa muda, cili padi dan bawang putih. Rasa aslinya dikekalkan biarpun ia diberi wajah baharu.


“Selain jual satar gulung, kita turut jadi pembekal isi satar kepada peniaga-peniaga di sekitar Kemaman,” katanya ketika dikunjungi di kedai dan pemprosesan satar dan keropoknya di Kampung Tengah, di sini, semalam.


Satar gulung merupakan produk baharu yang dikeluarkan Wan Zainab bagi menambah lagi cabang perniagaan keropoknya yang dimulakan pada 2005 dan kini semakin berkembang kerana turut dibantu suami, dua anak; Wan Latifah Wan Ismail, 36, dan Wan Mohd Anas, 30 dan dua cucunya; Nur Sakinah Mohamdon, 19 serta Nur Ayuni Mohamdon, 21.


Keropok yang dikeluarkan ibu kepada dua cahaya mata itu terbahagi kepada beberapa jenis iaitu keropok lekor, keropok lekor berempah yang disejuk beku dan keropok keping parang, tamban dan udang.


Ekoran kesedapan rasa keropok dan satar, Wan Zainab tidak menang tangan memenuhi tempahan dari pembeli seluruh Malaysia.


“Kita hantar dengan bas setiap tempahan pembeli,” kata usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu yang memulakan bisnesnya itu dengan membeli mesin menghiris keropok dan mesin mengadun keropok dari saudaranya yang tinggal bersebelahan rumah dengan bermodalkan cuma RM3,000.


Menurutnya, sebelum ini dia turut menerima bantuan dalam bentuk peralatan dan bahan mentah daripada LKIM berupa tiga biji tong isi ikan, sagu dan mesin menghiris keropok.


Kata Wan Zainab, ekoran satar mendapat permintaan tinggi, pengeluaran produknya tertumpu kepada satar gulung dan juga isi satar kerana ia juga boleh disimpan secara sejuk beku.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]