Stephens juara Terbuka Miami

in Sukan by


WAKIL Amerika Syarikat, Sloane Stephens mencipta kejutan apabila menundukkan Jelena Ostapenko dalam perlawanan akhir sekali gus merangkul gelaran Terbuka Miami.


Pada aksi final itu, Stephens yang diletakkan sebagai pilihan ke-13 nyata bijak merencana strategi bertahan sehingga menyebabkan Ostapenko melakukan beberapa kesilapan sebelum menoktahkan kemenangan 7-6 (5), 6-1.


“Ianya (kemenangan) sungguh menakjubkan. Pada asalnya saya sudah cukup berpuas hati dapat mara sejauh ini.


“Saya langsung tidak menjangkakan kejuaraan ini. Tapi saya gembira kerana ia dapat membantu menaikkan kembali nama saya ke tempat yang sepatutnya,” kata Stephens selepas diumumkan pemenang.


September tahun lalu, Stephens berjaya mencipta kejutan terbesar apabila menjuarai Terbuka Amerika Syarikat.


Bagaimanapun, kejayaan itu tidak berterusan apabila pemain kelahiran South Florida itu tewas lapan perlawanan selepas itu, termasuk dua perlawanan awal tahun ini.


Namun, dengan gelaran Terbuka Miami, Stephens bakal mencipta sejarah buat pertama kali menduduki senarai 10 teratas pemain wanita dunia, yang mana beliau naik ke tangga kesembilan yang akan diumumkan minggu depan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]