'Tak beri kelebihan kepada mana-mana parti'

in Politik by


PADANG RENGAS – Persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak memberi sebarang kelebihan kepada mana-mana parti hatta BN sekalipun.


Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mana mungkin ia beri kelebihan kepada BN kerana mereka bukannya tahu pengundi di sesuatu kawasan memangkah parti mana.


Menurutnya, cara terbaik untuk memenangi pilihan raya adalah dengan memenangi semua tempat bukannya memindahkan pengundi ke tempat lain.


“Contohnya Bukit Aman pindah ke Lembah Pantai. Lembah Pantai tu bukan kawasan kita (BN), itu kawasan pembangkang. Polis pun bukan semua tentu sokong kita.


“Hari ini pun banyak bekas tentera, bekas polis lawan kita (kerajaan BN). Sebenarnya, persempadanan langsung tak beri untung kepada sesuatu parti,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Ke Perpustakaan di Perpustakaan Awam Padang Rengas, di sini, semalam.


Tambahnya lagi, beliau tidak bersetuju dakwaan sesetengah pihak perpindahan pengundi Melayu untungkan Umno dan BN.


“Ada yang sebut kalau pindahkan Melayu, Umno dapat untung. Mana untungnya? Melayu kini dalam Pas ada, dalam Amanah ada, dalam PKR pun ada.


“Macam mana boleh kata pindah orang Melayu beri untung kepada Umno? Melayu pun dah pecah kepada empat, lima bahagian sekarang.


“Kita tak boleh tentukan dan baca hati manusia. Tidak ada satu kawasan pun kita boleh kata kawasan BN atau bukan BN malah di Padang Rengas pun belum tentu,” ujarnya.


Jelasnya, isu persempadanan semula mungkin dihebohkan pembangkang kerana mereka merasakan seolah-olah mereka akan kalah dalam PRU14.


“Jadi, sekarang mereka cari alasan untuk beritahu rakyat jika mereka kalah nanti. Ini trick lama, boleh baca dah.


“Ada juga yang kata akan ada tsunami Melayu, mana ada tsunami Melayu. Kalau ada tsunami pun tsunami yang pernah langgar Acheh dulu.


“Tak ada tsunami-tsunami ni. Selepas 2008 tiada parti yang boleh dapat majoriti dua pertiga. Kalau dapat 113 kerusi pun sudah boleh perintah sekarang,” ujarnya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]