Tiada perubahan besar

in Uncategorized by


GOPENG – Tiada perubahan besar dari segi jumlah pengundi dan kawasan bagi  Parlimen Kampar selepas kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya baru-baru ini.


Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong berkata, tiga pusat daerah mengundi (PDM) baharu iaitu Sahom, Kuala Dipang dan Sungai Siput Selatan telah menyertai  kerusi Parlimen Kampar pada PRU akan datang.


Menurutnya, bagi kerusi Dun pula satu PDM dari Malim Nawar dengan jumlah pengundi sebanyak 200 orang telah beralih ke Dun Tualang Sekah namun Dun  lain tiada perubahan.


“Kita telah hantar nama-nama calon bagi Dun Malim Nawar dan Dun Keranji kepada Presiden MCA dan gembira beliau memberikan restu.


“Setakat ini kita dengar perkhabaran yang baik-baik sahaja. Saya harap pengundi di sini dapat memainkan peranan penting untuk menyokong calon BN yang bertanding di kawasan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU)@ Kampar di Padang SMK Seri Kampar hari ini.


Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Shakib Ahmad Shakir.


Chee Leong berkata, walaupun tiada perubahan besar dari segi kawasan serta jumlah pengundi namun terdapat pengurangan pengundi Cina selepas persempadanan semula.


Katanya, pengundi Cina hanya 56 peratus berbanding 60 peratus pada PRU 13, diikuti penambahan pengundi Melayu sebanyak tujuh peratus menjadi 34 peratus pada PRU14.


“Pengundi India dan lain-lain biasa sahaja. Kita harap walaupun terdapat beberapa perubahan, sokongan pengundi sangat diperlukan untuk memenangkan BN di Parlimen Kampar,” katanya.


Tambahnya, dengan sokongan pengundi dan kemenangan yang memihak kepada  BN akan menjadikan ia platfom terbaik kepada wakil rakyat untuk menyediakan kemudahan termasuk dari segi peruntukan dan juga pembangunan infrastrutur di kawasan ini.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]