Tiga lelaki 'kantoi' curi buah sawit

in Edisi by


GUA MUSANG – Usaha tiga lelaki membawa keluar hasil kelapa sawit di kebun Felda Chiku 2, di sini tidak kesampaian apabila ditangkap sekumpulan penduduk kampung, awal pagi tadi.


Dalam insiden kira-kira jam 2 pagi itu, suspek dikatakan sedang memunggah kelapa sawit yang telah dipotong hampir dua tan ke dalam pacuan empat roda.


Menurut salah seorang pemilik kebun, Rushihan Amri Zakaria, 25, dia mula mengesyaki kerja-kerja berkenaan sejak Julai tahun lalu.


“Memang dari tahun lalu saya mengesyaki ada yang mencuri hasil sawit kebun bapa saya dan mula menjejaki pencuri ini sejak dua bulan lalu namun gagal.


“Semalam, saya rasa tidak sedap hati lalu mengintip dengan meminta bantuan orang kampung untuk menangkap mereka.


“Bukan kebun bapa saya sahaja, malah kebun orang lain pun turut berdepan masalah yang sama,” katanya yang turut membuat laporan polis petang tadi.


Tambah Rushihan, dia berharap, dengan tangkapan ini akan mengurangkan kadar kecurian hasil sawit di sekitar kawasan berkenaan.


“Bapa saya mengusahakan kebun itu sudah lama dan tahun ini merupakan tahun kelima tuaian. Bila ada individu yang tidak bertanggungjawab begini, ia menimbulkan rasa tidak puas hati apabila hasil keringat orang tua dicuri.


“Saya harap ia jadi pengajaran kepada individu lain yang turut terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]