Tutup laluan alternatif lori hantu

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengambil tindakan menutup laluan alternatif lori hantu yang melalui kawasan kampung Laut Skudai, semalam.


Tindakan tersebut dilakukan kerana kehadiran lori hantu terbabit dipercayai telah melakukan kerja-kerja pembuangan sampah haram di kawasan berkenaan.


Ahli Majlis MBIP Zon Taman Sri Puteri, R Suthesan berkata, tindakan tidak bertangungjawab itu didakwa akanĀ  memberi kesan kepada pencemaran di sekitar sungai Skudai.


“Kita hari ini dengan kerjasama PDRM juga telah buat satu Operasi Khas Tindak Cepat dengan menutup laluan haram bagi tidak membolehkan mana-mana lori atau kenderaan masuk dikawasan ini lagi.


“Langkah drastik ini kita kena ambil supaya alam sekitar di bandar raya ini tidak tercemar. Jika kita terus diamkan masalah ini saya bimbang dia juga akan memberi kesan kesihatan pula kepada penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui di operasi pencerobohan tanah rizab dan pelupusan sampah di Skudai, semalam.


R Suthesan berkata, pada Khamis lalu, pihaknya telah menerima satu aduan daripada orang awam menyatakan berlaku pembakaran sampah terbuka di Kampung Laut Skudai.


Katanya, hasil siasatan mendapati masalah yang dialami lebih setahun lalu di kawasan itu berlaku tidak kurang 50 meter dari kawasan sungai Skudai.


“Kalau kita tengok kawasan rizab di sini kira-kira dua ekar. Mereka bukan bakar satu tempat. Tapi dalam satu kawasan ini lebih empat tempat dia buat aktiviti pembakaran.


“Jadi ini sudah tentu sangat bahaya pada alam sekitar sekiranya mereka melakukan pembakaran secara serentak,” katanya.


Beliau berkata, operasi khas itu merupakan usaha untuk basmi pusat pelupusan sampah haram sebagai agenda utama untuk wujudkan persekitaran bersih khususnya di kawasan sungai.


“Untuk itu, selain mengambil pendekatan menutup laluan lori hantu ini, MBIP kini sedang mengesan individu mahupun syarikat yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara itu.


“Buat sementara ini, kerja-kerja pembersihan akan dilakukan pihak berwajib selain pemantauan berterusan akan dilakukan di kawasan itu,”


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]