Dadah disangka serbuk pengawet sotong

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Disangka serbuk pengawet sotong, rupanya ia adalah dadah jenis ketamin.


Itu penemuan pihak berkuasa terhadap sebuah vesel yang ditahan atas kesalahan memasuki perairan negara ini di Jeti Perikanan Padang Lalang.


Dalam kejadian Sabtu lalu, vesel terbabit ditahan pihak berkuasa di 23 batu nautika di  Sungai Miang, Pekan kerana  cuba menangkap ikan dalam perairan negara tanpa kebenaran kira-kira jam 11 pagi dua hari sebelumnya.


Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaludin Kudin berkata, berdasarkan laporan awal Jawatan Perikanan Negeri Pahang, kesemua 12 nelayan itu dikenal pasti sebagai warganegara Vietnam.


“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan ke atas vesel itu pada menjumpai 22 paket dadah dalam almari di rumah kemudi.


“Anggaran nilai pasaran dadah tersebut adalah RM127,500 dengan berat 850 gram. Manakala ujian saringan awal terhadap air kencing kesemua suspek didapati negatif dadah” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Paket dadah dijumpai di dalam rumah kemudi vesel kargo asing.


Hadir sama, Pengarah Perikanan Pahang, Azahari Othman.


Jamaludin berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Perikanan, kemungkinan besar berlaku kegiatan jual beli dadah di laut kerana vesel itu dilihat dihampiri sebuah vesel lain di tengah laut.


Namun begitu, atas beberapa kekangan termasuk aspek keselamatan penguat kuasa Jabatan Perikanan , vesel tersebut gagal dikesan.


“Kita juga tidak menolak kemungkinan dadah tersebut adalah untuk dijual di Vietnam.


“Pihak polis akan meneruskan usaha mengesan kegiatan sebegini dan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi menyalurkan maklumat,” katanya.


Jamaludin berkata, semua suspek ditahan selama dua minggu untuk siasatan lanjut.


Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.


Manakala., katanya, kesalahan memasuki perairan negara disiasat  di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu cuba menangkap ikan dalam  perairan negara dan Sekyen 16(3) Akta Perikanan 1985 iaitu vesel asing perlu melaporkan kepada pegawai penguat kuasa bagi memasuki perairan negara.


“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi pemilik vesel manakala anak kapal didenda tidak melebihi RM100,000,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]