Ejek GST: Kertas siasatan diserah kepada peguam negara

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Polis telah  melengkapkan  kertas siasatan berhubung dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengindoktrinasikan kanak-kanak dengan politik kebencian apabila mengejek Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam parodi lagu ‘A, B, C’ bulan lalu.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara hari ini bagi tindakan selanjutnya.


Siasatan itu dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya di sini.


Semalam, polis mengambil keterangan Guan Eng di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak di sini.


Sebelum ini,  Guan Eng  yang juga Setiausaha Agung DAP, dilaporkan disiasat oleh polis susulan laporan yang dibuat terhadapnya mendakwa beliau mengindoktrinasikan kanak-kanak dengan politik kebencian apabila mengejek GST dalam parodi lagu ‘A, B, C’.


Klip video berdurasi 32 saat itu menunjukkan Lim menari sambil mengejek GST pada pelancaran pusat tuisyen di Jelutong, 17 Mac lalu. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]