Izzah Amzan tak berdepan tekanan di Gold Coast

in Sukan by


GIMNAS muda negara, Izzah Amzan tidak berdepan tekanan walaupun terpaksa membawa tugas berat mewakili negara buat julung kalinya ke Sukan Komanwel 2018 di Australia.


Selain diletakkan sasaran untuk meraih pingat emas bagi acara berpasukan bersama-sama Amy Kwan Dict Weng dan Koi Sie Yan namun secara peribadinya Izzah tekad mahu ke final bagi acara individu.


“Sasaran peribadi saya mahu lakukan rutin dengan kemas sekali gus tidak lakukan sebarang kesilapan ketika melakukan persembahan di gelanggang.


“Jika saya boleh lakukan rutin dengan kemas maka saya berpeluang besar untuk mara ke final walaupun akan menerima cabaran sengit dari gimnas lain,” katanya.


Izzah yang meraih dua pingat emas pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lepas berkata beliau menjangkakan saingan sengit daripada gimnas dari Great Britian, Wales, Kanada dan juga tuan rumah Sukan Komanwel, Australia.


Namun katanya, walaupun dengan adanya saingan sengit, apa yang perlu dilakukan gimnas adalah memberikan fokus sepenuhnya kepada persembahan mereka.


“Siapa yang fokus akan mendapat hasil yang baik,” katanya dengan nada yakin.


Untuk mara ke final acara individu, Izzah perlu berakhir sebagai dua gimnas terbaik negara pada acara berpasukan.


Untuk rekod, Izzah telah menampilkan persembahan cemerlangnya di Kejohanan Gimrama Antarabangsa Piala Aphrodite keempat di Greece dengan meraih pingat gangsa dalam acara reben. – Bernama




 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]