Johor kedua tertinggi penembusan jalur lebar

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Johor mencatatkan kadar penembusan jalur lebar kedua tertinggi di dalam negara, selepas Kuala Lumpur bagi tahun 2016 dan 2017.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, ia menjadikan Johor di kedudukan lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.


Menurutnya, setakat Februari lalu, 83.6 peratus pengguna telefon bimbit di Johor mendapat liputan LTE atau 4G.


“Ini bermaksud majoriti besar pengguna telekomunikasi di Johor menerima capaian internet yang laju,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Johor 4.0 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kompleks Sukan EduCity di sini, petang tadi.


Salleh berkata, ketika ini, syarikat-syarikat telekomunikasi juga sedang menaiktarafkan menara-menara di Johor dari rangkaian 2G ke 3G dan LTE.


“Sebanyak 372 menara komunikasi di Johor kini dinaiktarafkan dan 153 lagi akan juga dinaiktarafkan kepada rangkaian 3G dan LTE.


“Siap sahaja nanti, akan terdapat 525 menara komunikasi di Johor dengan rangkaian 3G dan LTE,” katanya.


Dalam ucapan sama, beliau turut memaklumkan sejumlah 85 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) telah beroperasi di seluruh negeri ini.


“Sementara dua lagi PI1M sedang dalam pembinaan. Dengan adanya PI1M, ia akan datang membantu mereka yang tidak mempunyai peranti dan akses internet untuk menjalankan perniagaan dalam talian.


“Ini bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat setempat,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]