Pemuda BN mahu hub sukan ekstrem

in Edisi Johor by


PONTIAN – Pemuda BN Parlimen Pontian mahu tapak hub sukan ekstrem dibina di daerah ini bagi menarik penglibatan golongan muda khususnya di kawasan luar bandar melibatkan diri dalam acara sukan berkenaan.


Ketua Pemuda Umno Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang berkata, sukan ekstrem yang dikaitkan dengan kegiatan lasak semakin digemari golongan muda.


Justeru katanya, sebuah litar trek motor boleh diwujudkan sebagai permulaan kepada pembangunan hub ekstrem di Pontian.


“Makin ramai orang muda suka sukan ekstrem sebabkan gemarkan cabaran. Orang muda juga sukakan yang baharu.


“Sekiranya hub sukan ekstrem ini dapat dibina, saya yakin makin banyak program boleh dibuat orang muda di Pontian,” katanya ketika pelancaran Bridged Gempur dan Pemuda Bermotor BN oleh Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Pontian oleh Datuk Ir Hasni Mohammad di Stadium Mini Pontian, petang kelmarin.


Sementara itu Ir Hasni yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian meminta pengundi muda tidak terpedaya dengan gambaran negatif yang dicanang dan digembar-gemburkan pembangkang terhadap keadaan negara melalui media sosial.


Katanya, generasi muda kini perlu lebih bertanggungjawab dengan bersikap lebih matang dengan tidak sewenangnya mempercayai persepsi buruk yang dicipta untuk memburuk-burukkan kerajaan BN.


“Saya percaya briged ini merupakan jentera utama parti yang sinonim dengan Pemuda BN.


“Keyakinan Pengerusi Perhubungan Umo  Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sewaktu lawatan ke Parlimen Pontian sebelum ini, bahawa Parlimen Pontian akan membawa kejayaan besar pada PRU14, tidak mustahil dicapai.


“Ini kerana melihat sokongan orang muda ditambah dengan kerjasama setiap sayap parti, sudah pasti kemenangan mampu dicipta BN di Pontian,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]