Perlu dimiliki atau sekadar menyewa?

in Bisnes by


SMALL Office Home Office atau singkatannya SOHO, menjadi antara hartanah yang semakin menjadi pilihan kerana fungsinya yang pelbagai.


SOHO boleh dijadikan kediaman atau pejabat kecil dengan jumlah pekerja kurang 10 orang. Namun, konsepnya jauh berbeza dengan hartanah jenis pangsapuri atau kondominium.


Hartanah jenis ini dengan keluasan kebiasaan antara 450 sehingga 550 kaki persegi digunakan bagi menjalankan perniagaan persendirian atau mereka yang bekerja sendiri.


Hari ini, pejabat rumah menjadi pilihan yang popular untuk persekitaran kerja kerana kemudahan internet yang membenarkan individu untuk bekerja dari rumah.


Di luar negeri, SOHO atau studio apartment lebih popular di kampus universiti untuk pelajar dan di bandar besar seperti New York, Sydney dan London kerana hartanah di sana teramat mahal.


Tambahan, studio hartanah menjadi pilihan untuk disewa oleh pelancong dari luar negara yang berkunjung ke negara itu.


Ia lebih menjimatkan kerana tidak perlu membayar penginapan hotel yang mahal memandangkan pertukaran mata wang asing yang tinggi.


Bagaimanapun menurut Pengurus Besar PKNS-Andaman Development Sdn Bhd, Zawiah Mohd Thani, keadaan di Malaysia, berbeza dengan pelancong dari negara barat yang berkunjung ke Malaysia.


“Mereka lebih suka memilih hotel atau melancong sebagai ‘backpackers’ kerana fasiliti yang disediakan di sini lebih baik berbanding rumah SOHO atau studio.


“Pertukaran wang asing juga memainkan peranan kerana kadarnya adalah murah,” katanya.


SOHO pilihan untuk orang bisnes


Menurut Zawiah, PKNS mula membangunkan SOHO sejak era 70-an melalui konsep rumah satu bilik yang dibina di Kampung Kerinchi (kini Bangsar South) dan flat Taman Keramat (kini Datum Jelatek).


“Konsep satu bilik ini, pada awalnya dibina bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada migrasi penduduk ke Selangor yang ketika itu sedang pesat membangun untuk bekerja di sini.


“Pada waktu ini mereka hanya memerlukan tempat tinggal untuk kegunaan sendiri di samping harga yang murah.


“Untuk menjimatkan kos, pekerja perlu tinggal berhampiran tempat kerja mereka. Ada juga yang memilih mewujudkan ruang pejabat kecil di rumah sendiri sekali gus mengurangkan perbelanjaan bayaran sewa bulanan,” katanya.


Trend pembinaan SOHO bagaimanapun bermula, apabila pemaju menyedari bahawa stok tanah di kawasan bandar mahal selain dibangunkan dengan berbagai jenis bangunan perniagaan.


Di PKNS, EVO SOHO Suites Bangi dibina bagi memudahkan kehidupan golongan muda atau mereka yang baharu bekerja.


Manakala, bagi aktiviti hujung minggu, SOHO boleh dijadikan tempat untuk keluarga berkunjung dan bersantai.


“Ini kerana SOHO dibina di atas pembangunan sebuah kompleks membeli belah sekali gus memudahkan pemiliknya membeli barangan basah mahu pun kering, berkunjung ke restoran, membeli pakaian, membayar bil dan beriadah.


“Disini SOHO menjadi pilihan kerana lokasinya yang terletak di pusat Bandar Baru Bangi yang telah matang dari segi pembangunan,” katanya.


Trend yang semakin berkembang pesat


Pasaran SOHO sememangnya merupakan trend yang berkembang pesat di Malaysia dan luar negara sejak sedekad yang lalu, terutamanya di kalangan millennial yang baru memulakan perniagaan mereka.


Dalam hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Mah Sing Group Berhad, Datuk Ho Hon Sang berkata, kejayaan pembangunan SOHO di Mah Sing Group Berhad dapat dilihat dari segi perkembangannya yang semakin pesat.


Katanya, perkembangan ikonik di M City, Jalan Ampang, menyaksikan trend dalam kalangan pembeli mengenai keputusan mereka untuk mengambil unit SOHO.


“Pemilik unit SOHO kini cenderung memberi keutamaan kemudahan yang terdapat di kawasan pembangunan SOHO yang memberi penjimatan dari segi perjalanan dari rumah ke tempat kerja dan aktiviti selepas kerja seperti membeli-belah runcit, pergi ke gym, melakukan cucian dan banyak lagi.


“Dengan kemudahan yang berorientasikan keluarga seperti Kelab Ketinggian 4-tier M City, bekerja dari rumah memberikan waktu yang fleksibel untuk menghabiskan masa yang lebih berkualiti dengan insan tersayang,” katanya.


Katanya, sebagai generasi muda yang bekerja akan mencari ruang yang mudah, fleksibel dan estetik serta menyenangkan.


“Kerana itu Mah Sing menawarkan M City sebagai unit SOHO dengan keluasan 781 kaki persegi hingga 1,469 kaki persegi,” katanya.


Potensi SOHO kekal kukuh


Berbalik mengenai potensinya pula, menurut Zawiah, tidak semua SOHO boleh berjaya. Ia bergantung kepada beberapa faktor.


“Jika SOHO dibina di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, harganya sangat mahal berikutan harga tanah yang tinggi.


“Tetapi jika dibina di luar bandar, ia mungkin tidak popular kerana cara kehidupan orang di kawasan pinggiran atau luar bandar lebih memerlukan rumah yang berkeluasan besar untuk menampung kedatangan tetamu dan kaum keluarga yang bertandang pada waktu musim cuti atau hujung minggu,” katanya.


Namun, bagi golongan baru bekerja, pelajar, bujang, atau kelamin, SOHO menjadi pilihan mereka.


Bagaimanapun, menurut Zawiah, potensi untuk SOHO adalah baik pada  masa hadapan jika harganya berada dalam lingkungan mampu milik bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 tanpa mempunyai komitmen lain dan berumur pertengahan 30an.


“Harga untuk SOHO adalah berbeza mengikut kawasan dan populariti lokasi tersebut.


“Jika di Bangi, harga yang dijual tiga tahun lalu adalah lingkungan RM289,000. Bagi hartanah berstatus ‘subsale’, harganya boleh mencecah sehingga RM350,000,” katanya.


PKNS, Mah Sing perhebat sektor hartanah


Dalam hartanah, PKNS menyasarkan 15 pelancaran jualan projek hartanah baharu pada tahun ini termasuk projek perumahan mampu milik Selangorku.


Di samping itu, PKNS turut meneroka pasaran hartanah yang strategik serta berpotensi untuk dibangunkan seperti pembangunan baru di Sierra Alam (nama baharu bagi Bukit Cerakah).


Bukan itu sahaja, PKNS turut memperkenalkan pelbagai tawaran menarik termasuk rebat 20 peratus bagi pembelian produk hartanah PKNS melalui skim Smart Ownership PKNS.


Terbaharu, skim Smart Selangor First Home Buyer turut dilancarkan iaitu pembiayaan 10 peratus wang pendahuluan tanpa dikenakan caj perkhidmatan atau faedah untuk urusan pembelian Rumah Selangorku yang dibina PKNS dan anak syarikatnya.


Sementara itu, Mah Sing menyasarkan jualan hartanah RM1.8 bilion bagi tahun ini dengan 74 peratus adalah jualan bagi projek perumahan pada harga di bawah RM500,000.


Mah Sing kini mempunyai kira-kira 2,125 ekar tanah yang belum dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV).


Bagi 2018, Mah Sing memberi tumpuan bagi pembinaan rumah mampu milik bagi golongan muda yang mencari rumah pertama.


Mah Sing juga telah melancarkan beberapa projek perumahan terbaharu tahun ini termasuk projek M Vertica dan M Centura.


Selain itu Mah Sing juga bakal melancarkan beberapa lagi projek perumahan yang terletak di Rawang, Johor Bahru dan Pulau Pinang dijangka bermula pada suku kedua, 2018.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]