PRU14 :Umno Selangor kemuka tiga nama setiap kerusi

in Politik by


SABAK BERNAM – Umno Selangor telah mengemukakan tiga senarai nama calon di setiap kerusi di negeri ini bagi menghadapi PRU14.


Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau percaya senarai nama yang dipilih secara adil itu sudah sampai kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


“Saya percaya perdana menteri ada kaedah untuk menilai nama-nama calon ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Malaysia Kali Ke-23 di Dewan Bangunan Umno Bahagian Sungai Besar, di sini,semalam.


Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau yakin senarai yang dipilih itu ialah calon yang boleh menang (winnable candidate) dan ditapis.


Ditanya persediaan BN bagi menghadapi PRU14, Noh mengakui parti itu di negeri ini berada pada tahap terbaik dan cukup bersedia.


“Kita menunggu bila Parlimen dibubarkan dan Insya-ALLAH, saya yakin (persiapan) kita BN ini luar biasa.


“Pengalaman saya empat kali bertanding (dalam PRU), saya lihat tak pernah lagi persiapan pilihan raya yang begitu terperinci dengan jenteranya yang lebih tersusun.


“Kita yakin, dengan jentera yang lebih baik, Insya-ALLAH, kita (BN) boleh menang,” katanya.


Beliau turut meminta supaya ahli Umno di Selangor supaya melupakan seketika soal pemilihan parti, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap PRU14, sebagaimana saranan Presiden Umno.


“Saya dapati di Selangor, (Umno) bahagian tidak cerita pasal pemilihan, sebaliknya kita memikirkan bagaimana hendak menang di kawasan masing-masing dalam pilihan raya,” katanya.


#prusinar  #aparakyatmahu


Source: SH Politik

[featured-video-plus]