Tangan kiri kena potong kerana jangkitan

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Mak… tangan saya hilang! Demikian ayat pertama yang terpacul dari mulut seorang remaja sebaik selesai menjalani pembedahan membuang tangannya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.


Tangan Mohd Zaki Zulhaidi, 18, terpaksa dibuang akibat jangkitan kuman selepas dia terlibat dalam kemalangan jalanraya pada 19 Febuari lalu.


Dalam kejadian itu, dia yang menunggang motosikal berasingan bersama rakannya berdekatan tol Bukit Raja hilang kawalan lalu merempuh penghadang besi dan tercampak ke jalanraya.


Berikutan kejadian jam 11 malam itu telinga kiri Mohd Zaki juga nyaris putus, dia kini terpaksa menggunakan kerusi roda selepas kakinya terpaksa dimasukkan besi akibat keretakan tulang yang serius.


Mohd Zaki yang tidak sedarkan diri ketika kejadian berkata, dia terkejut selepas hari ketiga selesai pembedahan dia mendapati tangan kirinya hilang.


“Sedih hati memang tidak terkata ketika itu, namun saya kuatkan semangat.


“Saya kena redha apabila saya hilang tangan dan tidak mampu bergerak secara normal lagi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman keluarganya di Rantau Panjang, di sini.


Ibu, Zurina Zainal Abidin, 40, berkata, dia dan suami sentiasa memberi semangat kepada anak keduanya itu bagi meneruskan kehidupan.


“Mula-mula dulu dia agak sensitif dan sukar terima keadaannya yang sekelip mata berubah menjadi Orang Kurang Upaya (OKU), namun kini saya lihat dia mula dapat terima keadaannya.


“Urusan seharian seperti mandi, makan, pakai dan semuanya dilakukan saya secara bergilir-gilir dengan suami,” katanya.


Keperitan hidup yang dilalui Mohd Zaki mendapat perhatian


Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Sementa, Azhar Ayob dan pemimpin tempatan yang menziarahi keadaan mangsa.


Pada lawatan itu juga, Azhar turut memuji semangat kental Zurina yang merupakan usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) Parlimen Kapar yang menjalankan kerja-kerja menjahit bersama suami bagi menampung keperluan hidup mereka tujuh beranak.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]