Telur ayam bertaburan atas lebuh raya

in Edisi Utara by


KEPALA BATAS – Gara-gara mengantuk dan terlelap, kereta dipandu seorang lelaki terbabas sebelum merempuh sebuah lori membawa muatan telur ayam dalam kejadian di kilometer 115.3 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Tikam Batu di sini pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, pemandu kereta berkenaan dilihat memandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum masuk ke lorong kiri dan merempuh lori berkenaan.


Akibat kejadian itu, hampir keseluruhan telur ayam yang dibawa lori berkenaan pecah dan bertaburan di atas lebuh raya berkenaan sehingga menyebabkan aliran trafik terhalang.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kereta yang dipandu lelaki berusia 26 tahun itu mengalami kerosakan teruk di bagaimanapun pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Hasil siasatan mendapati ketika kejadian kedua-dua kenderaan berkenaan dari arah Butterworth menuju ke arah Sungai Petani sebelum pemandu kereta terbabit terlelap dan melanggar lori yang berada di hadapan.


“Akibat kejadian itu, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan,” katanya.


Noorzainy berkata, siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan masih lagi diteruskan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]