Warga Tampin dapat ketua polis baharu

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


TAMPIN – Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Superintendan Ramli Kasa, 52, memulakan tugas baharu sebagai Ketua Polis Daerah Tampin menggantikan Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan, Bakar Osman.


Majlis serah terima tugas yang diadakan di Dewan Serba guna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin itu disaksikan sendiri oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin.


Menurut Ramli, dia menyasarkan untuk memfokuskan kepada tatacara kerja pegawai serta anggota polis dan perlaksanaan program Community Policing bagi mengeratkan lagi hubungan polis dan masyarakat.


“Sebelum ini, saya bertugas di IPD Wangsa Maju selama setahun 10 bulan dan  belajar bagaimana caranya menjaga sesebuah IPD. Oleh itu, saya akan lihat kesesuaian perlaksanaan program di IPD Wangsa Maju untuk dilaksanakan di IPD Tampin.


“Bagaimanapun, jika dibandingkan dari segi kadar jenayah di Lembah Klang adalah tinggi berbanding di IPD Tampin ini yang saya lihat dalam keadaan yang baik,” katanya sempena Majlis Serah Terima Tugas di Dewan Serba guna IPD Tampin, di sini, hari ini.


Ramli dalam perkongsiannya menyatakan, dia berhadapan dengan pengalaman yang tidak mampu dilupakannya sepanjang 28 tahun berkhidmat dalam PDRM apabila ditugaskan di IPD Padang Besar.

Pegawai kanan polis IPD Tampin tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama Noor Azam (duduk, lima, kanan) sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Tampin di Dewan Serbaguna IPD Tampin, tadi.


Menurutnya yang merupakan anak jati Changloon, Kedah, pada tahun 2002, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand mahu membina semula tembok antara dua negara.


“Jadi tembok lama dirobohkan bagi pembinaan semula. Pada masa itu saya berhadapan dengan cabaran untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan juga mengatasi masalah kemasukan barangan dari kedua-dua buah negara.


“Ini pengalaman yang tidak boleh saya lupakan dan pengalaman ini akan gunakan lagi untuk memantapkan lagi IPD Tampin setanding dengan IPD lain di negeri ini khususnya,” katanya.  


Sempena program berkenaan, Pemangku Pengerusi Perkep IPD Tampin, Mariah Mohd Hashim menyerahkan tugas kepada Nasibah Ahmad selaku Pengerusi Perkep IPD Tampin yang baharu disaksikan oleh Pengerusi Perkep Kontinjen Negeri Sembilan, Datin Roshafiza Abdul Halim.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]