Bas rapid ke Air Itam kembali beroperasi

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Bas Rapid Penang bernombor 201,202 dan 203 untuk laluan Air Itam akan beroperasi seperti biasa selepas perkhidmatan itu dikurangkan operasinya kelmarin.


Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata, perkhidmatan ketiga-tiga laluan bas itu dikurangkan waktu operasinya kerana ingin memberi laluan kepada bas percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) yang dilancarkan 1 April lalu.


Menurutnya, tujuan ketiga-tiga bas itu dihentikan kerana bas percuma CAT turut melalui laluan sama dan berlaku pertindihan waktu bagi kedua-dua bas berkenaan.


“Perkhidmatan bas 201,202 dan 203 untuk laluan Air Itam sudah kembali normal selepas waktu operasinya dikurangkan semalam selepas bas percuma CAT dilancarkan. Ia bagi memastikan pengguna yang ingin terus ke Komtar dan Pengkalan Weld boleh menggunakan ketiga-tiga bas ini.


“Kita mendapat rungutan daripada pengguna yang lebih suka menggunakan ‘direct bus’ ke Komtar dan Pengkalan Weld. Oleh itu, operasi bagi ketiga-tiga bas ini dijalankan seperti biasa demi keselesaan pengguna,” katanya menerusi kenyataan medianya tadi.


Tambahnya, apabila Kerajaan Pulau Pinang melancarkan bas percuma CAT, pihaknya menyedari cabaran utama yang perlu dihadapi adalah pertindihan waktu bas.


“Rapid Penang perlu menambah masa untuk kelancaran perkhidmatan bas bagi memastikan ia seimbang, efisien dan keselesaan kepada pengguna. Oleh itu, hari ini kita tambah lagi dua buah bas percuma CAT buat sementara menjadikan jumlah kesemuanya 10 bas.


“Ia bagi mengatasi masalah berbangkit antaranya pengguna perlu menunggu lebih lama. Namun, bagi masalah lain, kita akan atasi secara berperingkat kerana laluan bas percuma CAT dan bas 201,202 dan 203 adalah sama,” katanya.


Ahad lalu, Kerajaan Pulau Pinang melancarkan laluan pertama perkhidmatan bas percuma CAT iaitu Air Itam berikutan mempunyai pengguna tertinggi di antara 12 laluan yang disenaraikan.


Dengan pelancaran laluan pertama itu, bas CAT akan dilancarkan di kesemua laluan iaitu enam laluan masing-masing di bahagian pulau dan seberang secara berperingkat.


Pelancaran perkhidmatan bas percuma itu adalah salah satu alternatif Kerajaan Pulau Pinang untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan penduduk dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]