Desak ‘nyahkan’ Ketua Bahagian Umno terlibat dadah

in Politik by


KUALA LUMPUR – Gabungan Pemimpin Akar Umbi Umno, mendesak agar parti itu mengambil tindakan tegas memecat seorang Ketua Bahagian Umno di Kuala Lumpur yang terlibat dengan dadah.


Ketua Penerangan Umno Pusat Bandar, Bahagian Pandan Syed Rosli Syed Harman berkata, tindakan segera itu penting demi menjaga maruah parti daripada terus dicalar dengan imej buruk berkenaan.


“Kita tak boleh lari, kena berhadapan dan ambil tindakan yang cepat dan pantas. Rakyat akan tengok… kita tak mahu Umno lindungi sesiapa, yang bersalah tetap bersalah.


“Kepentingan parti perlu diutamakan daripada individu, Umno perlu dijaga,” katanya dalam sidang medianya di pekarangan Bangunan Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.


Susulan itu satu memorandum diserahkan oleh gabungan itu bagi menzahirkan pendirian mereka berhubung isu itu.


Memorandum itu diserahkan kepada wakil Setiausaha Agung Umno, di sini.


Dalam pada itu ketika ditanya, kemungkinan wujudnya unsur sabotaj terhadap pemimpin berkenaan, Syed Rosli berkata, beliau tidak fikir bahawa pemimpin itu disabotaj oleh sesiapa.


“Bagi saya sebagai pemimpin apa dia buat jam 2 pagi di kelab malam, jadi saya tak fikir ia sabotaj.


“Jadi ini bukan soal sabotaj ini soal karakter pemimpin itu sendiri,” katanya.


Sinar Harian melaporkan, seorang pemimpin parti politik berusia lingkungan 40-an di Bandar Tun Razak ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di sini, awal pagi semalam.


Serbuan kira-kira jam 2 pagi itu dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya susulan maklumat mengenai aktiviti pusat hiburan tanpa lesen.


Difahamkan, ujian air kencing mendapati pemimpin itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.


Ketika serbuan dilakukan kira-kira 10 individu termasuk dua wanita berada dalam bilik karaoke tersebut.


Setelah diambil keterangan, pemimpin itu dibebaskan dengan jaminan polis.


Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan penangkapan tersebut.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]