JPA tiada halangan

in Nasional by


IPOH – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat kalangan penjawat awam dipilih sebagai calon pada PRU14 ini.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, keputusan menjadi calon adalah hak individu, namun selagi mana masih dalam perkhidmatan, mereka perlu mematuhi beberapa prosedur yang telah ditetapkan.


“Tanding atau tidak itu bergantung kepada calon, jika dia dipilih, maka bertandinglah, cuma syaratnya kalau masih dalam perkhidmatan kena tenderkan penjawatan dan ikut prosedur biasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) Peringkat negeri Perak anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda.


Zainal Rahim bagaimanapun memaklumkan, sehingga hari ini, pihaknya belum menerima maklumat adanya pegawai kerajaan dipilih sebagai calon pilihan raya.


Katanya, untuk menjadi calon wakil rakyat, individu itu bukan sahaja memerlukan minat yang tinggi, tetapi kualiti tertentu.


“Bertanding pilihan raya ini pilihan masing-masing, ada yang masih nak berkhidmat dengan kerajaan dan sesetengah penjawat yang masih muda lagi tu, mungkin dia nak cuba menceburi bidang lain,” katanya.


BN Perak sebelum ini memaklumkan sudah mengenal pasti beberapa penjawat awam yang berpotensi untuk menjadi calon parti itu pada PRU14 bagi kawasan Parlimen dan Dun.


Antara desas-desus pegawai kerajaan yang diperkatakan ketika ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.


Dalam pada itu, Azih berkata, pemilihan calon dalam kalangan penjawat awam bukan perkara baharu dalam sistem politik negara.


Katanya, sebagai aset penting negara, penjawat awam juga dilengkapi dengan ciri kepimpinan untuk menjaga rakyat dan menjadikan  pencapaian negara jauh lebih baik.


“Sebelum ini pun ada sahaja kalangan penjawat awam jadi calon, apa salahnya dan bagi saya memang tiada masalah pun,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]