Kecewa usaha tak dihargai

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – “Selama dua tahun saya perjuangkan permohonan bina baharu jalan rumah mereka, tetapi ini hasil yang saya peroleh”.


Demikian luahan kecewa Pengerusi JKKK Seberang Pekan, Ashroldin Abd Rashid mengulas mengenai penularan kenyataan individu di media sosial yang mendakwa seolah-olah JKKK tidak mengambil peduli masalah dihadapi apabila masih menggunakan jalan berbatu dan tanah.


Katanya, sejak 2016, beliau telah berusaha menghantar permohonan bina baharu jalan ke rumah individu itu kepada pihak berwajib.


“Bukan saya tidak buat kerja, tetapi saya telah laksanakan permohonan jalan menuju ke rumahnya pada 2016 dan 2017.


“Tetapi mereka tidak mahu ambil tahu atau bertanya kepada saya, sebaliknya mengeluarkan kenyataan di Facebook seolah-olah hendak memburuk-burukkan JKKK, pemimpin setempat dan pihak yang berkaitan.


“Susulan penularan di media sosial, pelbagai maklum balas diterima yang mengecam dan mengeluarkan kata-kata kurang enak sekali gus mengundang fitnah,”katanya kepada Sinar Harian.


Menurut Ashroldin lagi, permohonan telah dilaksanakan kepada Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) pada 2016 dan 2017, bagaimanapun terdapat halangan seperti status tanah.


“Saya dimaklumkan bahawa tanah itu adalah milik persendirian dan rumah individu itu perlu melalui tanah orang lain sebelum tiba ke rumahnya.


“Pemilik tanah tidak tinggal di kampung ini sebaliknya difahamkan berada di Kuala Lumpur.


“Nombor telefon juga tiada dalam rekod termasuk maklumat peribadinya, maka JKKK mengalami kesukaran untuk permohonan dokumentasi dan bimbang jika dibina juga, sudah berlaku pencerobohan,” katanya lagi.


Bagaimanapun, katanya, beliau sentiasa bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.


“Setelah individu itu mengeluarkan kenyataan berkenaan, ia sedikit sebanyak telah mencalarkan imej, mengaibkan JKKK, pihak berkuasa dan pemimpin setempat.


“Justeru, saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah untuk menuntut pembelaan dan menjelaskan kekeliruan netizen terhadap saya,” katanya.


Terdahulu, individu itu telah memuat naik gambar sebatang jalan menuju ke rumah nenek dan datuknya masih tidak berturap hingga membebankan mereka yang uzur untuk berulang alik dari hospital.


Kenyataan itu telah mendapat reaksi pelayar internet dan mendapat pelbagai komen daripada netizen yang kebanyakannya menghentam JKKK dan kerajaan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]