Lebih banyak kawasan larangan merokok diwartakan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Lebih banyak tempat awam akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok bagi memastikan Malaysia dapat mencapai sasaran menjadi negara bebas asap rokok menjelang 2045.


Ke arah sasaran bagi melihat jumlah perokok dalam negara kurang daripada lima peratus itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, semua kawasan awam dalam negara akan dipastikan bebas sebarang bentuk kegiatan merokok.


“Ini selaras dengan prinsip utama Artikel Lapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) – Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) iaitu semua tempat awam adalah kawasan tidak merokok,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin tahu hasil pencapaian penguatkuasaan kementerian di tempat awam bagi mencapai sasaran negara bebas asap rokok.


Hilmi berkata, setakat ini terdapat 23 jenis kawasan larangan merokok yang diwartakan menerusi Peraturan 11 Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, dan kawasan-kawasan lain yang diwartakan mengikuy Peraturan 22 peraturan  sama untuk program Bandar Bebas Asap Rokok.


Katanya sepanjang peraturan-peraturan itu dikuatkuasakan, sebanyak 131,624 notis kesalahan dan 58,872 kompaun dikeluarkan pada mereka yang lakukan kesalahan di kawasan tersebut.


Beliau berkata bagi membantu individu berhenti merokok, kementeriannya telah mewujudkan pusat mQuit di fasiliti kesihatan di seluruh negara dan purata kadar kejayaan program ini dari Julai 2016 hingga Jun 2017 ialah 36 peratus melibatkan 10,240 perokok. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]