Parlimen bubar Jumaat ini?

in Politik by


KUALA LUMPUR – Cakap-cakap bahawa Parlimen akan dibubarkan Jumaat ini terdengar di sana sini berikutan beberapa perkembangan penting yang menarik  perhatian orang ramai.


Difahamkan, sejumlah pemimpin BN negeri dipanggil menghadiri rundingan tergempar di Putrajaya menjelang berlangsungnya PRU14 yang dinanti-nantikan semua pihak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN, meramalkan Parlimen akan dibubarkan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto parti gabungan itu pada satu majlis khas.


Oleh kerana majlis itu dijadual berlangsung pada Sabtu malam, maka hari ini, Rabu, Khamis dan Jumaat merupakan hari yang berkemungkinan menyaksikan Parlimen dibubarkan.


Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan berakhir pada Khamis selepas membahaskan dan meluluskan usul penting pada sesi terakhirnya sebelum Parlimen dibubarkan.


Usul berhubung semakan semula sempadan kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat Rabu lalu, dengan 129 undi menyokong dan 80 menolak sebelum diwartakan pada hari berikutnya, yang sekaligus membolehkan PRU14 diadakan dengan menggunakan sempadan kawasan pilihan raya terbaru, tanpa mengubah jumlah kerusi parlimen dan negeri.


Pada Isnin, Rang Undang-undang AntiBerita Tidak Benar diluluskan Dewan Rakyat, manakala hari ini, Dewan Negara meluluskan penggubalan undang-undang itu.


Setelah diwartakan, Akta itu antara lain, akan menangani ancaman daripada berita tidak benar, yang mempunyai risiko terhadap demokrasi, keselamatan, ekonomi, kestabilan dan keharmonian di negara ini.


Satu lagi undang-undang yang diluluskan kedua-dua Dewan itu ialah Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2017) 2018, berjumlah RM7.12 bilion.


Hingga kini, perdana menteri terus membisu  tentang  tarikh pembubaran  Parlimen, kecuali membayangkan bahawa ia akan berlaku dalam masa terdekat.


Hari ini, Najib menghadiri beberapa acara di Johor dan beliau dijadual kembali ke Putrajaya pagi esok, sebelum berlepas ke Sarawak hingga Khamis.


Diari akhbar menunjukkan Najib belum mempunyai sebarang acara bersama orang ramai pada Jumaat, kecuali menghadiri mesyuarat Kabinet, yang menurut pemerhati mungkin merupakan mesyuarat terakhir Kabinet sebelum Parlimen dibubarkan.


Sudah menjadi suatu kelaziman bagi perdana menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet, yang tidak dibuka kepada media.


Bagaimanapun, keadaan pada pagi Jumaat ini akan menyaksikan kelainan kerana ramai petugas media akan berada di pintu pagar Istana kerana mereka menjangka akan berlaku ‘sesuatu di luar kebiasaan’.


Peramal politik menjangkakan PRU14 mungkin diadakan pada akhir bulan  ini atau awal bulan depan, sebelum bermulanya Ramadan pada pertengahan Mei. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]