Pemandu lori maut, anak parah

in Edisi Johor by


KULAI – Seorang pemandu lori maut manakala kelindan yang juga anak lelakinya parah selepas terbabit kemalangan melibatkan lima kenderaan di KM 45.2, Lebuhraya Utara Selatan, di sini, malam semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, mangsa, Zainal Abidin Abdul Rahman, 57, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan di dada manakala anaknya, Nazrul Haqim, 19, cedera parah.


Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian lori dipandu Zainal Abidin berada di lorong kiri jalan telah melanggar belakang sebuah bas ekspres di hadapannya.


“Kemalangan itu menyebabkan bas tersebut terdorong ke hadapan sebelum melanggar tiga kereta di hadapannya iaitu Perodua Axia, Honda City dan Honda Accord.


“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.


Dzulkhairi berkata, semua pemandu kenderaan lain termasuk penumpang bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan ini tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]