Perkasa diri dengan ilmu baharu

in Uncategorized by


IPOH – Penjawat awam disaran untuk terus memperkasakan diri dengan ilmu dan kebolehan baharu agar perkhidmatan diberikan seiring keperluan negara ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, anjakan diri itu perlu bagi memastikan kakitangan awam mempunyai nilai tinggi sebagai aset kerajaan.


“Akan datang tranformasi berlaku sangat interaktif, penduduk bertambah, keperluan pun bertambah, fasiliti kerajaan seperti hospital dan sekolah juga bertambah.


“Tidak boleh tidak, ciri kita juga perlu berubah ke arah lebih berkeupayaan intelektual dan kapasiti tinggi,” katanya pada Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) Peringkat negeri Perak anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), hari ini.


Beliau berkata, jaminan kerajaan untuk tidak mengecilkan jumlah kakitangan awam juga merupakan satu bentuk kepercayaan yang diberikan kepada anggota kerajaan untuk berusaha ke arah lebih baik.


“Jadi tak perlulah tunggu dan lihat sahaja, penjawat awam harus bergerak terus, belajar tambah ilmu dan buktikan kita aset yang punya value tinggi,” katanya.


Wacana berkenaan turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda.


Zambry berkata, kerajaan negeri akan melihat kembali keperluan peralatan di setiap jabatan yang dikatakan sudah lagi tidak sesuai digunakan terutama dalam menghadapi tranformasi.


Menjawab soalan dikemukakan audien, beliau menjelaskan, perkara itu diakui berlaku di sesetengah jabatan hingga sedikit sebanyak mengganggu perkhidmatan disampaikan.


“Mengenai peralatan yang dah outdated ni, kita akan lihat dan bincang kembali, bukan tertumpu kepada satu jabatan sahaja, tetapi secara keseluruhan termasuklah peralatan pejabat yang lain,” katanya.


Dalam pada itu, Azih berkata, ini adalah siri wacana ke 10 dihoskan Cuepacs bersama kerajaan negeri bagi memberi peluang penglibatan penjawat awam kalangan pemimpin kesatuan kerja mencadangkan aspirasi mereka dalam TN50.


Katanya, semua pandangan itu nanti akan digembeleng menjadi satu bentuk cadangan yang lebih konkrit kepada kerajaan memacu negara.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]