Permohonan Bantuan Dana Aidilfitri dibuka

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Permohonan Bantuan Dana Perayaan Aidilfitri 2018 bagi rakyat negeri ini dibuka selama sebulan bermula 1 April sehingga 30 April 2018.


Permohonan secara atas talian itu diwajibkan kepada pemohon sama ada yang telah memohon sebelum ini atau pemohon baharu, di mana mereka diminta mengisi kembali permohonan dan tiada kemas kini maklumat.


Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin, berkata  pendaftaran boleh dibuat melalui laman web www.danattb.terengganu.gov.my.


“Antara syarat kelayakannya ialah pemohon mestilah mempunyai keluarga, rakyat Terengganu dan jumlah pendapatan bulanan hendaklah tidak melebihi RM3,000 sebulan.


“Manakala pemohon yang belum berkahwin, mestilah berumur melebihi 40 tahun serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan,” katanya.


Menurutnya, borang permohonan hendaklah dicetak dan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama salinan dokumen kad pengenalan, surat nikah, surat cerai atau surat mati pasangan dan slip gaji.


“Bagi pemohon yang tidak mempunyai slip gaji, perlu mengemukakan surat pengakuan pendapatan yang disahkan oleh Pengerusi JKKK atau penghulu mukim.


“Pemohon mestilah seorang pengundi berdaftar di Terengganu. Maklumat tidak lengkap boleh menyebabkan permohonan ditolak,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]