RM2.7j bangunkan industri kartun, animasi

in Bisnes by


KERAJAAN akan menyediakan bantuan berjumlah RM2.7 juta bagi pembelian kandungan dan pemberian dana bagi membangunkan industri kartun dan animasi.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, daripada jumlah itu, RM2 juta akan disalurkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk pembelian kandungan animasi.


Beliau membuat pengumuman itu pada Majlis Anugerah sempena Sambutan Hari Kartunis Malaysia 2018 di Muzium Negara di Kuala Lumpur.


Menurutnya, pembelian tersebut akan melibatkan animasi sedia ada yang belum ditayangkan di televisyen bagi menggalakkan lagi penghasilan animasi berkualiti.i.


“Kita perlu proaktif, tidak perlu tunggu saluran baharu diwujudkan, baru nak beli kandungan. Jadi lebih mudah kita beli dahulu kandungannya dan terpulang kepada syarikat televisyen bila hendak menyiarkan,” katanya.


Salleh juga berkata RM500,000 daripada RM2.7 juta itu akan diberikan kepada Rumah Kartun dan Komik Malaysia  bagi memulihara karya-karya kartunis Malaysia.


Katanya, baki RM200,000 akan diberikan kepada Majalah Gila-Gila untuk mendigitalkan koleksi majalah itu.Selain itu, Salleh turut mengumumkan penawaran pitching grant melalui FINAS untuk kategori penggiat animasi televisyen sebagai tambahan kepada kategori sedia ada iaitu televisyen, filem dan dokumentari.


Pada majlis itu, beliau menyampaikan Anugerah Kartunis dan Animasi 2018 kepada pemenang termasuk Tokoh Kartunis 2018  (Jaafar Taib) dan Anugerah Penghargaan sempena ulang tahun ke-40 Majalah Gila-Gila. – Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]