Segamat dimasukkan dalam ECER

in Edisi Johor by


SEGAMAT – Kerajaan mengumumkan bahawa daerah Segamat akan menjadi kawasan pertumbuhan baharu fasa keempat projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) selain daerah Mersing di negeri ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan tersebut akan dilakukan oleh kerajaan pusat bersama agensi-agensi pelaksana ECER bagi memastikan pembangunan sosial di daerah ini dapat ditingkatkan.


“Saya melihat Segamat ini ada hubung kait dengan Mersing dan hari ini saya isytiharkan Segamat akan menjadi kawasan baharu ECER seperti yang diminta oleh pemimpin-pemimpin di daerah ini.


“Banyak sebab untuk penduduk di daerah ini rasa ceria kerana kerajaan turut meluluskan pembangunan Pelabuhan Darat Segamat (SIP) dengan kos sebanyak RM20 juta,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Jalan Kolam Air, di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.


Sebelum itu, Subramaniam dalam ucapannya meminta kerajaan pusat untuk memperluaskan pembangunan projek ECER ke daerah ini agar limpahan pembangunannya dapat dirasai selain membangunkan lagi sosioekonomi di daerah Segamat.


Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, ini adalah satu rancangan yang terkandung di dalam Blue Print Pembangunan Segamat dan inisiatif ini akan memantapkan lagi pembangunan sosioekonomi dan membawa lebih banyak manfaat kepada daerah ini.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]