Sekolah berusia lebih 100 tahun dipantau

in Uncategorized by


BANDAR KUALA KANGSAR – Kementerian Pendidikan sentiasa memantau keadaan lebih 20 sekolah lama berusia lebih 100 tahun di seluruh negara.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Mahdzir Khalid berkata, antara aspek diberi perhatian adalah penyelenggaraan memandangkan sekolah tersebut masih beroperasi sehingga kini.


Menurutnya, kunjungan beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) hari ini sebahagian daripada program pemantauan di sekolah tersebut.


“Ini sebahagian program nak tengok sekolah lama yang daripada zaman sebelum merdeka, boleh kekalkan sekolahnya sampai sekarang.


“Sebagai contoh Sekolah Menengah Clifford yang berusia 121 tahun. Kita nak tengok juga bagaimana kita boleh bantu sekolah ini terutamanya dari segi penyelenggaraan.


“Sekolah-sekolah ini dipanggil sekolah premier dan kerajaan akan terus memantau keadaannya,” katanya kepada pemberita selepas program Lawatan ke SMK Clifford, petang tadi.


Mahdzir dalam ucapannya sebelum itu turut meluluskan projek bernilai lebih RM1.05 juta untuk SMK Clifford yang diminta pengetua sekolah tersebut, Kamaruzaman Abdul Murad.


Projek diluluskan adalah pendawaian semula bangunan sekolah dengan anggaran kos RM300,000, sebuah bas sekolah baru bernilai lingkungan RM700,000 dan RM50,000 untuk pengurusan.


Dalam perkembangan lain, Mahdzir menyatakan rasa terkejut dan kecewa dengan kes ketum melibatkan tiga pelajar perempuan di Bachok seperti dilaporkan media, baru-baru ini.


Tegasnya, perkara itu tidak seharusnya berlaku namun sementelah ia sudah berlaku, tindakan perlu diambil kepada semua mereka yang terlibat.


“Saya serahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Bachok untuk ambil tindakan.


“Ini perkara yang salah di sisi undang-undang. Biarlah pihak di sana selesaikan,” ujarnya.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]