Strawberi dari Semeling

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Laman Fig Suhanis yang mengusahakan tanaman strawberi menerima kunjungan 2,000 purata pengunjung sehari pada hujung minggu selepas menjadi tular di media sosial pertengahan Mac lalu.


Terletak di Kampung Telaga Cina, Semeling dalam kawasan Parlimen Merbok, Kedah, berdekatan sebuah institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa, ladang berkenaan menjadi tumpuan setiap hari sehingga menyebabkan laluan masuk ke kawasan berkenaan sesak.


Rata-rata pengunjung dari seluruh negara datang kerana berminat untuk melihat dengan lebih dekat tanaman strawberi yang sebelum ini hanya ditanam di kawasan tanah tinggi dengan cuaca beriklim sejuk.


Bagaimanapun, ladang yang diusahakan seorang anak muda di kawasan tanah rendah dengan cuaca beriklim panas di Kedah, tidak membantutkan tumbesaran buah berkenaan, malah rasa keenakan dan kesegarannya juga tidak berbeza.

Pengurus ladang, Nur Atikah Zakaria menunjukkan pokok matang yang berjaya menghasilkan buah.


Anak jati Semeling, Harusani Saari, 33, berkata,  minat terhadap tanaman strawberi mula tercetus setelah melihat ruang kosong antara pokok tin yang ditanam di laman berkenaan.


“Mula-mula saya fikir nak tanam apa sebab tengah-tengah batas ni ada kosong, lepas kumpul maklumat dan selidik cara penanaman serta hasilnya, strawberi antara yang menjadi pilihan,” katanya.


Bermula 100 anak pokok


Menurutnya, peringkat permulaan dia membeli 100 anak pokok strawberi dari pengedar di Klang, Selangor.


“Sebelum beli kita dah selidik dan tau baka strawberi ni sesuai ditanam di iklim panas macam Kedah, berbeza dengan baka di Cameron Hinglands,” katanya.


Menurutnya, selepas tujuh bulan, dia yang mengusahakan ladang berkenaan bersama keluarga teruja melihat hasil memuaskan dan mula mengedarkan kepada saudara, rakan dan penduduk kampung.

Pengunjung mendapatkan buah strawberi dari Laman Fig Suhanis.


Melihat kejayaan tanaman strawberi di ladang berkenaan amat memuaskan, ramai antara pengunjung mula menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat beriadah bersama keluarga sekaligus menjadi tular dalam kalangan penduduk Sungai Petani (bandar paling berdekatan).


“Dulu kami bagi orang ramai petik dan makan, bila dah tular, ramai sangat mai tengok dan makan sampai buah habis.


“Sekarang kita tak buat lagi macam tu sebab nak puaskan hati pengunjung terutama yang mai jauh-jauh, bila sampai depa tengok tinggal batang sahaja, jadi la ni kita hadkan tak boleh lagi petik,” katanya.


Akibat permintaan terlalu tinggi, dia kini hanya mampu memetik antara 80 hingga 100 kilogram strawberi sehari di ladang seluas kira-kira tiga hektar di dua lokasi berdekatan.


Katanya, penjagaan pokok strawberi tidak terlalu sukar dan hanya menumpukan kepada keperluan asas serta baja yang sesuai.


Hasrat kembang perniagaan


Menurutnya, bukan sahaja buah strawberi menjadi pilihan, malah pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan anak pokok serta produk hiliran seperti aiskrim, kek, minuman dan lain-lain berasaskan perisa strawberi.


Buah dijual dengan hanya RM15 untuk 300 gram, orang ramai boleh mendapatkannya pada setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.


Bagi mengembangkan penanaman strawberi, beliau berhasrat untuk memiliki sebuah kawasan yang dibangunkan sebagai lokasi pelancongan, lengkap dengan kiosk jualan serta kemudahan lain.


“Saya berharap agar orang ramai berpuas hati dengan apa yang kami sediakan setakat ini.


“Ini kerana, pada peringkat permulaan kami hanya tanam sebagai hobi sahaja tetapi bila dah nampak hasil yang berbaloi, kami kembangkan sedikit demi sedikit.


“Bila dah tular macam ni, tak dapat layan semua pengunjung dalam satu masa, namun dari masa ke semasa kami akan mempertingkatkan lagi kemudahan yang ada demi keselesaan orang ramai,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]