Syed Alwi dilantik Presiden, CEO Agrobank

in Bisnes by


AGROBANK melantik Syed Alwi Mohamed Sultan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bank itu.


Pelantikan yang berkuat  kuasa pada 2 April 2018 itu, mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan.


Agrobank dalam satu kenyataan hari ini berkata Syed Alwi mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perbankan serta kewangan Islam dan pernah memegang jawatan pengurusan kanan di beberapa bank seperti Bank Muamalat Malaysia Bhd, BNP Paribas, Standard Chartered Saadiq Bhd, Islamic Bank of Asia Ltd dan HL Bank Singapura.


Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata Lembaga Pengarah Agrobank yakin Syed Alwi merupakan pemimpin yang sesuai untuk membawa Agrobank ke fasa seterusnya terutamanya dalam meneraju transformasi bank ke peringkat yang lebih baik lagi.


Mengulas mengenai pelantikan beliau, Syed Alwi berkata beliau berbesar hati diberikan kepercayaan dan amanah untuk memimpin Agrobank dalam fasa penting perkembangan bank.


“Agrobank telah menunjukkan prestasi yang kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini di bawah transformasi fasa pertama serta dilihat mempunyai strategi kukuh dalam memacu kejayaan bank.


“Kejayaan Agrobank kini adalah hasil inisiatif kepimpinan bank sebelum ini dan usaha warga kerja Agrobank kini,” katanya.


Beliau berkata fokus beliau kini untuk meneruskan momentum kejayaan yang ada dan pada masa yang sama memastikan bank terus memberi tumpuan dengan mewujudkan impak positif kepada pihak berkepentingan bank termasuk pemegang saham, kakitangan dan masyarakat.


Syed Alwi yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana kelas pertama dalam Pentadbiran Perniagaan dalam Kewangan Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. – Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]