TFC III ungguli saingan kumpulan B

in Sukan by


PASUKAN Terengganu FC (TFC) III berjaya mengekalkan rekod bersih di gelanggang sendiri apabila meraih tiga mata penuh selepas menumpaskan PDRM, 1-0 dalam aksi saingan Piala Presiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin.


Pengendalinya, Badrul Hafzan Razali mengakui walaupun sekadar melakarkan kemenangan tipis pada perlawanan itu, namun tetap berbangga dengan komitmen diberikan anak buahnya.


Menurutnya, apa yang lebih penting buat pasukan adalah untuk mengekalkan rentak kemenangan kerana saingan ketika ini semakin sengit dengan perbezaan satu mata di belakang pencabar terdekat PKNP FC (18 mata).


“Atas kertas sememangnya nampak mudah buat kita untuk menewaskan pasukan yang berada di tangga kedua tercorot kumpulan tetapi bila berada di dalam padang ia menjadi sebaliknya.


“Apa pun saya bersyukur kerana pemain dapat meraih tiga mata berharga meskipun mereka dilihat terpaksa bergelut untuk meraih kemenangan, selain faktor kepenatan dengan jadual perlawanan yang padat,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.


Pertemuan itu menyaksikan kem tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi dua percubaan awal Mohd Zarulizwan Mazlan (minit empat) dan Mohd Aqil Irfanuddin (minit lapan), namun gagal menemui jaring gol.


Malah penyerang skuad B21 negara, Muhammad Izzan Syahmi, turut berpeluang membuka jaringan buat TFC III pada minit ke-17, bagaimanapun rembatannya sekadar mengenai jaring sebelah tepi gawang gol.


Serangan bertali arus tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Mohd Zarulizwan Mazlan berjaya meledakkan gol pembukaan pada minit ke-32 untuk membawa TFC III di depan.


Bersambung babak kedua, kem tuan rumah hampir menggandakan jaringan menerusi percubaan cantik Izzan Syami pada minit ke-44 tetapi penjaga gawang PDRM, Muhammad Arif Izwan terlebih dahulu bertindak cemerlang menafikan hajat skuad TFC III.


PDRM yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan bagaimanapun gagal melepasi benteng pertahanan tuan rumah yang terus ampuh menangkis asakan pelawat sehingga tamat perlawanan.


Tuntut pemain kekal rentak kemenangan


Mengulas lanjut, Badrul Hafzan menuntut skuad bimbingannya itu dapat mengekalkan rentak kemenangan mereka untuk bertemu PKNS FC, Khamis ini di gelanggang lawan.


Katanya, TFC III berkemungkinan akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelahan utama pada perlawanan itu nanti dengan menurunkan pemain-pemain yang masih cergas selepas mereka mengharungi dua perlawanan dalam tempoh seminggu.


“Walaupun kita ini kesemua pemain bebas daripada sebarang kecederaan tetapi mereka memerlukan rehat yang cukup, jadi saya harap pemain-pemain yang bakal diturunkan nanti dapat lebih bersedia.


“Justeru apa yang diharapkan agar pasukan dapat meneruskan persembahan yang lebih baik untuk bertemu PKNS FC nanti dengan sasaran tiga mata dibawa pulang ke bumi Terengganu,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]