Tindakan tegas salah guna harta awam

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana parti yang bakal bertanding dalam PRU14 sekiranya meyalahguna harta kerajaan dan awam untuk tujuan kempen politik.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk  Wan Nawawi Wan Ismail berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Terengganu supaya mengambil tindakan segera terhadap parti yang ingkar.


“Pada setiap musim pilihan raya, memang kita dapati ada parti-parti yang bertanding selalu menggunakan sama ada premis atau harta awam seperti tiang elektrik dan sebagainya untuk digantung bendera parti, poster atau apa sahaja alatan kempen.


“Saya telah memberikan arahan kepada semua PBT untuk melarang parti yang bakal bertanding pada PRU14 nanti menggunakan harta milik kerajaan untuk tujuan berkempen,”  katanya.


Beliau berkata demikian selepas menerima pengiktirafan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi pemakaian pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) di Wisma Darul Iman, hari ini.


Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.


Wan Nawawi berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana boleh mengundang bahaya terhadap pengguna jalan raya dan orang awam.


“PBT akan menurunkan bendera parti yang dipasang di tempat awam seperti jambatan juga yang dipasang tak ikut spesifikasi sepatutnya,” katanya.


Beliau berkata, kesemua jentera parti termasuk pihak kerajaan mahupun pembangkang telah diberikan penjelasan.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]