Zarco fokus buru kemenangan di Argentina

in Sukan by


PELUMBA Monster Yamaha Tech, Johann Zarco mahu melupakan kegagalan dalam perlumbaan MotoGP pertamanya dalam Grand Prix Qatar baru-baru ini yang baginya amat mengecewakan.


Bagaimanapun, dia enggan terlalu dibelenggu kekecewaan berkenaan dan meletak harapan tinggi untuk memburu kemenangan pertama musim ini dalam kelas perdana MotoGP di Argentina, hujung minggu ini.


Zarco berkata, dia perlu memberikan tumpuan penuh pada pusingan kedua minggu ini bagi meletakkan dirinya berada di dalam kelompok terbaik seandainya mahu menamatkan perlumbaan di podium.


“Saya percaya untuk meraih kemenangan dan saya harus meyakininya,” katanya.


Di Qatar, Zarco menduduki tempat kelapan selepas bermula dari petak pertama dan mendahului hingga pusingan ke-17 daripada 22 pusingan sebelum masalah tayar hadapan menyebabkan dia sukar untuk mengekalkan kedudukan dan akhirnya dipintas.


Pelumba Itali, Andrea Dovizioso meraih tempat pertama dengan catatan masa 42:34.654s, diikuti Marc Marquez dari Mexico (42:34.681) dan Valentino Rossi (42:35.451) di tempat kedua dan ketiga.


“Selain fokus, ia juga bergantung kepada nasib, mungkin tuah tidak memihak kepada saya di Qatar.


“Tapi saya tidak akan putus asa dan akan terus fokus perlumbaan dan mencuba untuk buat yang terbaik,” tambah Zarco yang juga merupakan rakan sepasukan, Hafizh Syahrin Abdullah.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]