Bangga diiktiraf Bandar Perabot Malaysia

in Edisi Johor by


BAKRI – Meskipun berada dalam kelompok daerah kecil, namun siapa sangka Muar mampu melakar kejayaan di persada negara apabila dinobatkan Bandar Perabot Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Pengiktirafan yang tentunya membanggakan warga Muar khususnya pengusaha perabot sudah pasti bermakna lantaran merasakan perniagaan membabitkan kayu-kayan ini turut mendapat tempat di Malaysia.


Bagi pemilik kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bakri Batu 8, Christopher Yau, 46, berkata, jolokan baharu itu meningkatkan semangat pengusaha untuk hasilkan perabot lebih berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran.


“Sememangnya kami lebih berbangga apabila perdana menteri iktiraf industri perabot Muar. Penganugerahan julung kali itu turut membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak memandang remeh terhadap sumbangan ekonomi ini.


“Justeru, ia secara tak langsung memberangsangkan semangat kami dan percaya pengiktirafan ini turut merancakkan jualan industri perabot,” katanya kepada Sinar Harian.


Ujar Christopher, perusahaan yang dibuka sejak 15 tahun itu kini dirasakan berbaloi kerana segala usaha dan penat lelahnya selama ini turut mendapat perhatian.


“Memang tak pernah sangka Muar mampu diisytiharkan sebagai Bandar Perabot Malaysia. Kami tahu selama ini kerajaan negeri dah banyak beri perhatian berkaitan eksport perabot dari Muar, tetapi, untuk dijadikan sebagai hab Perabot Malaysia adalah suatu yang luar daripada jangkaan.


“Saya cuma berharap kami dapat sahut pengiktirafan ini agar jolokan baharu itu terus kekal sampai bila-bila,” ujarnya.


Sementara itu, seorang lagi pengusaha kilang perabot di Parit Jamil, Muar, Candice Lim, 48, yakin penghasilan perabot oleh pengusaha selepas ini akan lebih pesat apabila Muar dijangkakan menjadi tumpuan untuk bekalan eksport perabot.


Dalam perkembangan sama, pembinaan Muar Furniture Park (MFP) yang dijangka siap pada 2020 turut memberikan satu lagi khabar gembira buat industri perabot daerah ini.


Menurut Candice, kewujudan MFP yang dibina secara seragam dan sistematik memudahkan pengusaha meningkatkan nilai eksport mereka di peringkat antarabangsa.


“Bila dikumpulkan menjadi pusat utama industri perabot, ia secara tak langsung membantu kami untuk berurus niaga dengan lebih baik. Pada masa sama, MFP ini juga membuka peluang untuk pengusaha meningkatkan jumlah pembeli kerana tidak perlu menyukarkan mereka lagi untuk bergerak dari satu kawasan industri ke satu lagi kawasan yang lain.


“Malah pembinaan dilengkapi pelbagai infrastruktur termasuk kewujudan Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) itu akan menarik kepercayaan pembeli dari luar negara untuk mendapatkan perabot yang menjamin kualiti,” katanya.


Terdahulu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pembangunan besar-besaran ini akan merangkumi komponen utama iaitu himpunan 144 lot industri yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur jalan raya, lampu jalan, sistem telekomunikasi serta menekankan tahap keselamatan pada standard tinggi.


“Hab tersebut turut menjadi penempatan lebih 220 syarikat perabot dan aktiviti sokongan, usahawan termasuk bumiputera di samping mampu mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.


“Pembangunan yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2020 itu merupakan usaha kerajaan negeri bagi penempatan semula kilang-kilang perabot di Muar selain meningkatkan eksport negara,” katanya dalam sidang media.


Menurutnya, peningkatan sebanyak lima peratus nilai eksport berbanding 2016 secara tidak langsung meletakkan industri perkayuan terutamanya perabot sebagai industri yang strategik dan penting.


“Dalam kejayaan ini, sudah tentu Johor merupakan pengeluar utama perabot di Malaysia dengan sumbangan kira-kira 63 peratus daripada keluaran perabot negara.


“Manakala Muar pula sebagai penyumbang terbesar dan terkenal bagi hab perabot dengan sumbangan mencecah 70 peratus atau RM3.3 bilion secara keseluruhan,” katanya.


Kelmarin, perdana menteri mengiktiraf Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia kerana kepesatan industri itu terhadap ekonomi Malaysia merupakan tawaran berharga buat rakyat Muar.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]